Selain dari membawakan Galaxy Z Fold3 dan siri Galaxy Watch4, Samsung turut mengumumkan pra-tempahan sebuah lagi telefon baharunya yang diumumkan bersempena acara Galaxy Unpacked minggu lepas.
Sama seperti Galaxy Z Fold3, Samsung Galaxy Z Flip3 juga akan mula menerima pra-tempahan pada hari Khamis ini, 19 Ogos 2021. Harga bagi model 128GB, adalah RM 3,999. Manakala model 256GB pula berharga RM 4,199.
Kedua-duanya ini dilihat ditawarkan pada harga yang lebih rendah jika dibanding Z Flip yang berharga RM 5,888 ketika dilancarkan di Malaysia pada Mac lalu.
Anda yang membuat pra-tempahan telefon ini akan diberikan e-baucar yang bernilai RM 600 dan boleh digunakan di kedai dalam talian Samsung Malaysia. Selain itu, anda juga menerima perlindungan Samsung Care+ selama setahun.
Pra-tempahan ini akan dibuka sehingga 21 September dan boleh dibuat menerusi kedai dalam talian Samsung Malaysia serta kedai fizikal Samsung Experience Stores dan wakil pengedar yang sah di seluruh negara.













