Maklumat baharu berkenaan Samsung Galaxy Z Flip 7 dan Fold 7 dilaporkan telah tertiris dengan kali ini melibatkan dakwaan penggunaan pemprosesan Exynos 2500 untuk Z Flip 7. Sebelum ini kedua-dua telefon pintar boleh lipat baharu keluaran Samsung tersebut dikatakan telah tertiris maklumat mengenai spesifikasi, ketebalan dan juga kamera-kameranya.

Menurut 9to5Google, rancangan untuk menempatkan Exynos 2500 sebagai pemprosesan untuk Galaxy Z Flip 7 telah pun dikemukakan sejak dari mula lagi sebelum ia dimansuhkan. Kini idea tersebut kembali lagi kedengaran apabila wakil industri dilapor mengesahkan keputusan tersebut diambil berdasarkan faktor utama seperti harga dan penambahbaikan kadar pengeluaran cip pemprosesan berkenaan. Sebelum ini cip berkenaan mempunyai kadar pengeluaran yang diunjurkan industri pada sekitar 20% hingga 40%.

Faktor kos juga menjadi salah satu penyumbang kepada kemungkinan Samsung akan menggunakan pemprosesan Exynos pada Galaxy Z Flip 7 berbanding Qualcomm. Laporan tersebut juga menyebut pengeluar pemprosesan berkenaan juga telah menaikkan harga cip-cip keluarannya lebih dari 20% setiap tahun.

Atas sebab itu, kos untuk menggunakan pemprosesan Snapdragon pada telefon pintar boleh lipat ini mungkin menjadi terlalu tinggi. Manakala Galaxy Z Fold 7 pula yang sememangnya dijual pada harga yang amat tinggi, dikatakan masih lagi dengan Snapdragon, cuma model pasaran mana ia akan digunakan tidak diketahui lagi.

Selain daripada desas-desus mengenai pemprosesannya, Galaxy Z Flip 7 sebelum ini turut didakwa mempunyai skrin cover 4-inci, bateri 4,300mAh, dan kamera 50MP + 12MP. Galaxy Z Fold 7 pula dijangka akan mempunyai ukuran 8.2mm apabila dilipat dan mempunyai tri-kamera yang terdiri daripada kamera utama 200MP, kamera 10MP dengan lensa telefoto 3x dan ultra-lebar 12MP.

Kedua-dua telefon pintar Samsung ini juga dijadualkan akan diperkenalkan di dalam acara Galaxy Unpacked pada bulan Julai ini. Menurut laporan, pengeluaran besar-besaran Z Flip 7 dijadualkan bermula pada Mei ini, dan akan dilancarkan bersama-sama Z Fold 7.

Tinggalkan komentar