Bersempena acara Galaxy Unpacked kedua untuk tahun ini, Samsung kini telah memperkenalkan Galaxy Z Flip7. Banyak penambahbaikan yang dari khabar angin sebelum ini didapati benar. Namun dalam pada masa yang sama, terdapat beberapa perkara yang mungkin sesetengah pengguna berpandangan kurang memberangsangkan.
Pun begitu, berdasarkan lembaran spesifikasi rasmi, Samsung Galaxy Z Flip 7 dinyatakan hadir dengan skrin AMOLED Full HD+ 21:9 berukuran 6.9 inci (atau 6.8 inci jika diambil kira sudut yang melengkung), serta menyokong kadar segar semula adaptif 120Hz. Terdapat juga skrin luaran AMOLED yang meliputi hampir keseluruhan bahagian luar atas (kecuali bingkai dan dua kamera), bersaiz 4.1 inci dengan resolusi 1,048 x 948.

Perlu juga disebut bahawa kedua-dua bahagian luar peranti ini dilapisi dengan Corning Gorilla Glass Victus 2, sama seperti model sebelumnya. Bahagian engsel kini menggunakan Armor FlexHinge yang direka semula, membolehkan profil peranti lebih nipis dan rata apabila dilipat.
Di bahagian dalamnya ini pula mungkin kurang digemari oleh sesetengah pengguna. Exynos 2500 merupakan pemprosesan yang baik, namun sesetengah pengguna masih lagi terbawa-bawa dengan persepsi daripada generasi sebelumnya.
Untuk RAM, hanya satu pilihan sahaja yang ditawarkan iaitu 12GB. Kapasiti baterinya pula dinaikkan sedikit kepada 4,300mAh, dibahagikan kepada dua sel, dengan pengecasan masih terhad pada kelajuan 25W. Pengecasan berbalik seperti biasa masih lagi dikekalkan sokongannya.
Kamera Samsung Galaxy Z Flip7 dilengkapkan dengan kamera utama 50MP dan kamera ultra lebar 12MP di bahagian luar, serta kamera swafoto 10MP yang terletak pada bahagian berpenebuk lubang di skrin utamanya. Dari segi perisian, ia antara peranti terawal yang akan menggunakan Android 16, melalui antaramuka One UI 8. Ciri-ciri lain yang disediakan pada telefon pintar boleh lipat ini termasuklah sokongan WiFi 7, Bluetooth 5.4, satu slot Nano SIM serta eSIM, dan pengimbas cap jari pada bahagian sisinya. Ia juga hadir dengan penarafan IP48 untuk ketahanan debu dan air.

Samsung Galaxy Z Flip7 ditawarkan dalam dua pilihan storan, iaitu 256GB dan 512GB, masing-masing pada harga RM4,999 dan RM5,599. Pilihan warnanya pula terdiri daripada Blue Shadow, Coral Red, Jet Black dan satu warna eksklusif dalam talian iaitu Mint. Pra-tempahan kini dibuka sehingga 31 Julai, dengan ketersediaan di pasaran bermula 1 Ogos.













