Samsung Galaxy Tab S7 FE telah diumumkan secara rasminya hadir ke pasaran Malaysia. Tablet baharu Samsung untuk pasaran Malaysia ini mengetengahkan kefungsian yang pastinya digemari oleh para peminat Samsung.
Pada harga dari RM1,899, Samsung Galaxy Tab S7 FE menawarkan pelbagai fungsi yang bukan sekadar untuk tujuan santai dan berhibur, malah mampu meningkatkan produktiviti.
Samsung Galaxy Tab S7 FE ada S Pen!
Apa yang menarik, tablet Samsung baharu ini turut disertakan bersama-sama dengan aksesori paling mustahaknya, S Pen. Anda tidak perlu mendapatkannya secara berasingan kerana ia telah dimuatkan ke dalam kotaknya.
Kotak pembungkusan Samsung Galaxy Tab S7 FE ini boleh dikatakan agak padat bagi sesebuah tablet. Kira memang ‘ngam-ngam’ dengan saiznya.
Di dalam kotaknya, selain Samsung Galaxy Tab S7 FE yang dibalut kemas dengan beg lutcahaya. Ia turut mengandungi panduan pengguna, alat penolak dulang, S Pen (mantap beb!), pengecas 15W dan kabel USB-A ke USB-C.
Secara fizikalnya, tablet Samsung baharu ini dapat dirasakan tahap kekemasan dan keteguhan binaannya. Jika dilihat pada setiap sisinya, kita akan mendapati terdapat sepasang pembesar suara stereo dan juga dulang kad mikroSD.

Sepintas lalu, Samsung Galaxy Tab S7 FE menawarkan spesfikasi seperti berikut, iaitu:
- Cipset Qualcomm Snapdragon 778G
- Papran LCD IPS 12.4-inci beresolusi QHD+
- RAM 4GB dan storan 64GB atau RAM 6GB dan storan 128GB
- Bateri berkapasiti 10,090mAh yang menyokong pengecasan pantas sehingga 45W
Selain dari spesifikasi perkakasan yang dinyatakan tersebut, S Pen yang disertakan bersama dengan tablet ini memberikan kelebihan yang tersendiri. Sungguhpun S Pen ini tidak mempunyai ketersambungan Bluetooth Low Energy (BLE), ia boleh berfungsi dengan baik sama seperti S Pen yang lain.
Tidak dilupakan, S Pen ini juga boleh melekap pada Samsung Galaxy Tab S7 FE secara magnetik. Oleh yang demikian, ia dapat membantu pengguna menyimpan atau meletakkan S Pen berkenaan apabila tidak digunakan.
Turut disediakan sebuah kamera utama 8MP pada bahagian belakang tablet Samsung ini. Ia boleh dimanfaatkan bagi tujuan pembelajaran seperti mengambil foto kerja rumah atau sebagai foto rujukan lukisan memandangkan tablet ini menyokong penggunaan S Pen.
Di sebelah hadapannya pula disediakan sebuah kamera 5MP. Seperti biasa, kamera ini amat penting bagi tujuan panggilan video atau mesyuarat dan kelas dalam talian selain dari untuk kegunaan swafoto.
Aksesori lain Samsung Galaxy Tab S7 FE
Tablet Samsung baharu ini juga boleh mempertingkatkan penghasilan produktiviti penggunanya melalui gandingan aksesori khasnya seperti papan kekunci Bluetooth dan Book Cover.
Untuk masa yang terhad sehingga 31 Oktober ini, pembelian Samsung Galaxy Tab S7 FE akan disertakan bersama tawaran menarik secara percuma. Antara aksesori dan langganan percuma yang ditawarkan ialah:
- Book Cover (bernilai RM339)
- Langganan YouTube Premium selama 4 bulan (bernilai RM72)
- Langganan aplikasi Clip Studio Paint selama 6 bulan (bernilai RM221)
- Multi BT Keyboard (bernilai RM179) – khusus untuk pilihan RAM 6GB, storan 128GB sahaja.

Samsung Malaysia menawarkan dua pilihan spesifikasi bagi tablet yang mempunyai sambungan Wi-Fi sahaja ini.
- Samsung Galaxy Tab S7 FE 4GB RAM dan storan 64GB – RM1,899
- Samsung Galaxy Tab S7 FE 6GB RAM dan storan 128GB – RM2,199
Berminat? Anda boleh mendapatkan Samsung Galaxy Tab S7 FE dengan mengunjungi kedai dalam talian di Samsung Malaysia, Lazada dan juga Shopee.

















