Lebih dari seminggu selepas acara Samsung Galaxy Unpacked yang melancarkan siri Galaxy Z Flip dan Z Fold, gergasi elektronik Korea Selatan ini meneruskan langkah dengan akan memperkenalkan peranti baharu tidak lama lagi.
Antaranya barisan tablet mercu baharu menerusi siri Galaxy Tab S11, berdasarkan maklumat tertiris dari Evan Blass yang turut memberikan gambaran tentangnya.
Di dalam hantaran di platform X, Blass berkongsikan dua imej pengolokan yang salah satunya merupakan Samsung Galaxy Tab S11 Ultra. Tiada perincian lanjut mengenainya dan imej tersebut cukup memberikan gambaran tentang tablet baharu tersebut.
Misalnya, takuk yang menempatkan kamera hadapannya kelihatan lebih kecil berbanding yang terdapat pada Galaxy Tab S10 Ultra. Selain dari itu, peranti tersebut juga digambarkan bersama-sama S Pen yang menunjukkan ia didatangkan dengan sokongan penggunaan pena stylus.
Bahagian belakang tablet tersebut pula menunjukkan ia akan hadir dengan dwi-kamera yang lebih mirip dengan siri Galaxy S25. Ini menunjukkan Samsung sedang bergerak ke arah rekabentuk peranti yang lebih seragam.
Bercakap mengenai siri Galaxy S25, imej pengolokan kedua menunjukkan telefon pintar Galaxy S25 FE. Sebelum ini terdapat laporan yang mendakwa rekabentuknya telah tertiris bersama-sama spesifikasinya. Imej langsung peranti tersebut jugak dilaporkan telah dikongsikan di laman web WPC tidak lama selepas ketirisan tersebut.
Walaupun imej pengolokan ini tidak memberikan maklumat baharu, ia sekurang-kurangnya selari dengan maklumat yang dikongsikan sebelum ini. Peranti ini menampilkan bezel yang lebih nipis dengan rekabentuknya kelihatan seperti telefon pintar moden Samsung yang lain. Seperti biasa, maklumat yang tertiris ini masih lagi belum diketahui kesahihannya selagi tiada pengumuman rasmi.













