Samsung secara rasminya telah melancarkan siri Galaxy Tab S11 di Malaysia yang berkesinambungan dari Galaxy Tab S10+ dan S10 Ultra. Untuk model keluaran tahun 2025 ini, siri ini hadir dengan dua model iaitu Galaxy Tab S11 dengan skrin 11-inci dan Galaxy Tab S11 Ultra dengan skrin 14.6-inci.
Galaxy Tab S11 Ultra merupakan tablet besar keluaran Samsung paling nipis dan paling ringan setakat ini. Nipisnya hanya 5.1mm dan seberat 692 gram untuk model WiFi. Walaupun paparannya besar dan baterinya lebih besar, ia hadir lebih nipis dan ringan berbanding model sebelumnya. Bezelnya juga telah dikurangkan kepada hanya 5.2mm dan takuk pada hadapannya kini lebih kecil dengan satu kamera sahaja.
Reka bentuk S Pen juga telah direka semula dengan sisi heksagon seperti bentuk pensil 2B biasa untuk menjawab peperiksaan. Tempat bermagnet untuk mengecas S Pen yang masih menyokong sambungan Bluetooth ini juga telah diubahkan ke sisi atas tablet berkenaan.
Dalam pada masa yang sama, penyambung pin POGO kini ditempatkan di bahagian belakangnya. Ia seterusnya menjadikan sambungan ke Book Cover Keyboard berbeza cara dengan tablet generasi sebelumnya.
Paparan dan Prestasi
Kedua-dua Galaxy Tab S11 dan Tab S11 Ultra menampilkan paparan Dynamic AMOLED 2X dengan kecerahan puncak 1,600 nits. Di dalamnya, ia dikuasakan oleh pemprosesan 3nm MediaTek Dimensity 9400+ yang menawarkan prestasi CPU 24%, GPU 27% dan NPU 33% lebih baik berbanding generasi sebelumnya.
Siri tablet Samsung baharu ini juga dilengkapkan RAM 12GB dan storan 256GB dengan pilihan storan 512GB ditawarkan untuk Tab S11 Ultra.
Bagi meningkatkan produktiviti, fungsi Samsung DeX turut dipertingkatkan di dalam tablet baharu ini. Ia mempunyai Extended Mode yang membolehkan anda menyambungkan ke paparan kedua pada monitor atau telefon secara nirwayar dengan kelebihan menguruskan sehingga empat workspace.
Siri Galaxy Tab S11 juga menerima manfaat daripada alatan Galaxy AI terkini seperti Gemini Live, Writing Assist dan Drawing Assist.
Kamera dan Bateri
Untuk kamera hadapan, Tab S11 dan Tab S11 Ultra mempunyai satu kamera hadapan 12MP. Untuk Tab S11, hanya satu kamera 13MP disediakan di belakangnya, manakala Tab S11 Ultra pula ia mempunyai satu kamera 13MP dan satu lagi kamera ultra-lebar 8MP.
Sesuai dengan saiznya, Galaxy Tab S11 Ultra mempunyai bateri yang lebih besar 11,600mAh berbanding Tab S11 yang mempunyai 8,400mAh. Untuk pengecasan pula, tablet-tablet ini menyokong pengecasan berwayar 45W melalui port USB-C.
Harga Galaxy Tab S11 dan Galaxy Tab S11 Ultra di Malaysia
Bersama-sama sokongan kemaskini perisian dan keselamatan sehingga tujuh tahun, siri Galaxy Tab S11 turut menyediakan tawaran eksklusif untuk aplikasi produktiviti seperti:
- Goodnotes – Percuma versi percuma selama 1-tahun
- Clip Studio Paint – Percubaan percuma selama 6-bulan, potongan 20% untuk langganan pertama
- LumaFusion – Potongan 66%, Percuma Creator Pass 1-bulan
- Notion – Percubaan percuma 1-bulan untuk Plus Plan dengan Notion AI
Boleh didapati dengan dua pilihan warna iaitu Grey dan Silver, anda boleh mendapatkan siri Galaxy Tab S11 di Malaysia pada harga seperti berikut:
- Samsung Galaxy Tab S11 256GB (WiFi) – RM3,899
- Samsung Galaxy Tab S11 256GB (5G) – RM4,399
- Samsung Galaxy Tab S11 Ultra 256GB (WiFi) – RM5,999
- Samsung Galaxy Tab S11 Ultra 512GB (WiFi) – RM6,499
- Samsung Galaxy Tab S11 Ultra 256GB (5G) – RM6,499
- Samsung Galaxy Tab S11 Ultra 512GB (5G) – RM6,999













