Darsawarsa dalam menempuh arus modernisasi yang menerjah watan, mendapatkan peranti yang tepat untuk tugasan harian bukanlah sekadar melihat pada spesifikasinya semata-mata. Malah, ia lebih daripada kuasa perkakasannya dan perlu juga dilihat pada faktor bentuknya.

Untuk itu, Samsung baru-baru ini telah memperkenalkan barisan tablet baharu melalui Galaxy Tab S10 FE dan Tab S10 FE Plus yang bertemakan “My Way, My Tab.” Khusus untuk Galaxy Tab S10 FE Plus, ia menampilkan paparan yang luas, keupayaan AI yang berkuasa dan juga mudah untuk dibawa ke mana-mana. Menjadikan ia peranti pendamping yang sesuai untuk pelbagai peringkat pelajar, baik dari pelajar sekolah menengah hinggalah ke mahasiswa universiti.

Model tahun ini bukan sekadar menawarkan prestasi, ia juga menyerlahkan ketrampilan dan gayanya yang tersendiri.

HANN menggayakan pesona Galaxy Tab S10 FE

Apa yang kami perasan ketika pandang pertama tablet baharu keluaran Samsung ini mempunyai sentuhan yang premium, baik Galaxy Tab S10 FE Plus mahupun Galaxy Tab S10 FE. Kemasan matte pada permukaan belakangnya memberikan rasa yang licin sambil mengekalkan genggaman pengguna. Keteguhan binaannya juga tidak mengganggu sifat mudah dibawanya bagi tujuan pekerjaan atau hiburan.

Galaxy Tab S10 FE Plus kini lebih besar saiz paparannya 13.1-inci, lebih besar berbanding sebelum ini yang bersaiz 12.4-inci. Untuk kegunaan pelbagai tugas, melukis atau menyunting kandungan, tambahan saiz ini tentunya nyata berbeza.

Walaupun saiz paparannya kini lebih besar, tablet masih lagi mudah untuk diusung hasil daripada reka bentuk bezel yang lebih nipis.

Papan kekunci Bluetooth baharu yang lebih mirip dengan Laptop

Papan kekunci Bluetooth boleh tanggal baharu untuk tablet baharu Samsung (ITFIT Book Cover Keyboard) ini juga wajar diberikan perhatian. Selain menawarkan pad penjejak (trackpad), papan kekunci ini juga boleh dilekapkan secara magnetik dengan mudah dengan Galaxy Tab S10 FE Plus.

Ahmad Putra sedang tekun membuat tugasan pada Galaxy Tab S10 FE Plus

Menurut Samsung, DeX Mode yang tersedia di dalam tablet ini mampu memberikan pengalaman kepenggunaan seakan-akan komputer peribadi. Justeru berpotensi menjadi pengganti untuk stesen kerja terutamanya untuk anda yang senantiasa sibuk bekerja di mana-mana.

Siri FE sering diketengahkan sebagai model yang lebih mampu milik untuk siri-siri S, namun ia tidak semestinya mengurangkan ciri-ciri utama yang terdapat pada model-model mercu berkenaan.

Misalnya, ciri-ciri berkuasan AI seperti Note Assist dan Circle to Search yang masing-masing bertujuan memudahkan proses kerja harian dan juga carian turut diperkenalkan pada model siri FE ini. Untuk anda yang ingin menyiapkan tugasan berkaitan matematik, ciri Solve Math yang disediakan di dalam aplikasi Samsung Notes membolehkan anda mendapatkan jawapan yang tepat.

Tidak dilupakan, pena stylus S Pen yang sinonim dengan Galaxy Tab S, turut didatangkan bersama-sama Galaxy Tab S10 FE Plus ini. Lebih manis lagi, aplikasi-aplikasi seperti Goodnotes, Clip Studio Paint, Noteshelf 3, dan Sketchbook yang amat bermanfaat untuk digunakan bersama-sama S Pen turut dipramuatkan di dalam tablet ini.

Harga Galaxy Tab S10 FE Plus di Malaysia

Ditawarkan di dalam dua pilihan konfigurasi, Galaxy Tab S10 FE Plus yang boleh didapati dengan pilihan warna Gray, Silver dan Blue dijual pada harga:

  • Galaxy Tab S10 FE Plus (12GB+256GB, WiFi): RM2,799
  • Galaxy Tab S10 FE Plus (12GB+256GB, 5G): RM3,299

Bermula dari 24 April sehingga 7 Mei ini, anda boleh mendapatkan kupon rebat RM200 pada harga RM20 apabila anda membuat pembelian siri Galaxy Tab S10 FE. Selepas itu, antara 8 Mei sehingga 15 Jun, siri tablet berkenaan akan ditawarkan bersama-sama ITFIT Book Cover Keyboard (bernilai RM499) secara percuma. Anda juga boleh menikmati rebat segera RM200 untuk tukar-ganti.

Tinggalkan komentar