Teka-teki mengenai spesifikasi telefon pintar mercu Samsung yang akan datang kini semakin terungkai apabila varian Samsung Galaxy S26 Ultra dilaporkan akan dilengkapkan dengan cip pemprosesan terunggul Qualcomm, Snapdragon 8 Elite Gen 5 untuk pasaran global.
Maklumat baharu ini diperoleh daripada dokumen pensijilan yang telah didedahkan baru-baru ini. Ia mengesahkan penggunaan cip tersebut merentasi pelbagai pasaran antarabangsa.
Laporan daripada sumber industri mendedahkan bahawa nombor model bagi Galaxy S26 Ultra yang ditemui adalah SM-S948B dan SM-S948U.
Berdasarkan dokumen fail FCC, kedua-dua nombor model ini disenaraikan menggunakan cip dengan kod nama SM8850, yang merujuk kepada pemproses Snapdragon 8 Elite Gen 5.
Analisis lanjut mengenai konvensyen penamaan peranti Samsung menunjukkan bahawa model SM-S948B dikhaskan untuk pasaran antarabangsa, manakala SM-S948U adalah varian yang dikunci oleh syarikat telekomunikasi untuk pasaran Amerika Syarikat.
Penemuan ini mengukuhkan jangkaan bahawa Samsung secara rasminya akan menawarkan Galaxy S26 Ultra dengan cip Snapdragon di seluruh dunia. Ia tidak lagi membahagi pasaran mengikut jenis cip seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.
Walaupun model Ultra dilihat kekal dengan cip Snapdragon secara eksklusif, situasi bagi model asas Galaxy S26 dan Galaxy S26+ masih belum dapat dipastikan sepenuhnya.
Terdapat laporan terdahulu yang mencadangkan bahawa kedua-dua model ini akan menggunakan Snapdragon 8 Elite Gen 5 di hampir semua rantau kecuali Korea Selatan. Model tersebut dikhabarkan akan menggunakan cip Exynos 2600.
Namun, terdapat juga laporan bercanggah yang mendakwa model asas dan Plus hanya akan menerima cip Qualcomm di pasaran Amerika Syarikat, China, dan Jepun, manakala rantau lain akan menerima cip Exynos.
Pengesahan mengenai penggunaan cip Snapdragon untuk model Ultra ini membolehkan pengguna dan peminat teknologi menetapkan jangkaan yang lebih jelas terhadap prestasi telefon pintar tersebut.
Namun, maklumat rasmi mengenai spesifikasi cip untuk model Galaxy S26 dan S26+ masih dinantikan sama ada melalui ketirisan lanjut atau pengumuman rasmi daripada pihak Samsung.













