Samsung, dilaporkan akan melancarkan siri telefon pintar mercu baharunya, Samsung Galaxy S26, pada 25 Februari 2026. Maklumat tarikh pelancaran ini telah ditiriskan oleh @evleaks yang berkongsikan imej promosi acara ‘Galaxy Unpacked’ pertama bagi tahun ini menerusi akaun X miliknya.
Berdasarkan imej yang dikongsikan dipaparkan tarikh 25 Februari dengan reka bentuk yang kelihatan rasmi. Bagaimanapun, pada bahagian lokasi acara tersebut, ia telah dikaburkan.
Tarikh yang dinyatakan ini dilihat sangat hampir dengan penganjuran Mobile World Congress (MWC). Seterusnya menimbulkan persoalan sama ada Samsung merancang untuk melancarkan peranti ini bersekali dengan acara tersebut atau di lokasi berasingan.

Selain tarikh pelancaran, beberapa imej yang memaparkan siri Samsung Galaxy S26 yang dipakaikan kerangka pelindung turut diperlihatkan. Imej-imej tersebut memberi gambaran awal mengenai rekaan fizikal peranti, di mana model asas dan model ‘Plus’ dilihat mempunyai banyak persamaan.
Menurut @evleaks, imej yang dikongsikan bukan sahaja mengukuhkan laporan awal, malah hampir mengesahkan tarikh pelancaran tersebut.
Selain telefon pintar, Samsung juga dijangka akan memperkenalkan aksesori audio baharu mereka serentak dengan pelancaran siri Galaxy S26. Antara peranti yang disebut-sebut bakal diperkenalka, Galaxy Buds4 dan Galaxy Buds4 Pro.
Perkembangan ini selari dengan penemuan maklumat pangkalan data SIRIM di Malaysia. Siri Galaxy Buds4 telah pun disenaraikan, dan ini memberi petunjuk bahawa pelancaran tempatan mungkin akan berlaku tidak lama lagi selepas pengumuman global.
Samsung masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi. Namun reputasi @evleaks yang sering tepat dalam maklumat tertiris menjadikan tarikh 25 Februari tersebut amat dinanti-nantikan. Kehadiran siri Galaxy S26 dan peranti boleh pakai baharu ini pastinya akan merancakkan lagi persaingan pasaran peranti pintar pada suku pertama tahun 2026.













