Beberapa hari lalu imej pengolokan pertama untuk Samsung Galaxy S26 Pro yang berkesinambungan dari siri Galaxy S25. Baru-baru ini telah tertiris lagi imej pengolokan berasaskan reka bentuk berbantukan komputer (CAD) dari pelbagai sudut termasuk bahagian hadapan.
Samsung dikatakan akan melancarkan tiga peranti baharu seperti biasa pada Januari tahun depan, tapi bukan tiga yang seperti kelaziman sebelum ini. Kali ini ia dikatakan hadir dengan S26 Pro, S26 Edge dan S26 Ultra. Model Plus dikatakan akan ditukarkan sebagai Edge dengan skrin yang sama tetapi lebih nipis, manakala model standard pula akan dikenali sebagai Pro.
Imej pengolokan ini juga mengesahkan S26 Pro akan menyokong pengecasan nirwayar dengan magnet terbina dalam, sama seperti yang ada pada iPhone dan Google Pixel 10. S26 Pro juga dikatakan akan mempunyai paparan 6.3-inci, besar sedikit berbanding 6.2-inci pada model sebelumnya. Model baharu ini juga dikatakan berukuran 149.3 x 71.4 x 6.96 mm dan berukuran 10.23mm pada bonggol kamera. Ini menjadikan ia lebih tinggi, lebar dan nipis berbanding S25.
Tiga kameranya kini diletakkan di atas ruangan berbentuk segiempat bujur yang menjadikan rekaannya kelihatan amat berbeza dengan S25. Pun begitu, rekaan bahagian lainnya masih lagi menyerlahkan ciri reka bentuk Samsung.
Galaxy S26 Pro dikatakan akan dikuasakan oleh pemprosesan Samsung Exynos 2600 atau Snapdragon 8 Elite Gen 5 mengikut pasaran. Pemprosesan yang dijangka akan digunakan itu juga akan bergandingan dengan RAM 16GB, lebih 4GB berbanding model terdahulu. Selain itu, baterinya juga dikatakan 300mAh lebih besar pada 4,300mAh serta kamera ultra-lebar yang lebih baik beresolusi 50MP.













