Utama Android Samsung Samsung Galaxy S25 FE dikatakan mungkin ada 4 Warna Pilihan

Samsung Galaxy S25 FE dikatakan mungkin ada 4 Warna Pilihan

39
0

Samsung Galaxy S25 FE dijangka akan dilancarkan sekitar bulan hadapan dan seperti biasa desas-desus mengenainya sering diperkatakan. Kali ini Android Headlines telah berkongsikan sebuah set imej pengolokan telefon pintar berkenaan dalam pelbagai warna dan sudut pandang.

Berdasarkan imej pengolokan tersebut, Galaxy S25 FE akan didatangkan di dalam empat warna pilihan iaitu hitam, biru navy, biru ais, dan putih. Kesemua warna tersebut kecuali putih pernah hadir sebagai pilihan di dalam siri Galaxy S25.

Selain pilihan warna, imej pengolokan tertiris tersebut menunjukkan bezel yang semakin menipis dengan hanya bahagian bawahnya sahaja kelihatan sedikit tebal. Kamera hadapannya seperti biasa ditempatkan di tengah-tengah atas panel dengan ketiga-tiga kamera di belakangnya di susun secara menegak. Galaxy S25 FE juga dikatakan hadir lebih nipis berbanding model sebelumnya.

Lain-lain maklumat mengenainya, telefon pintar ini juga dikatakan akan menggunakan pemprosesan Exynos 2400e, jenis yang sama digunakan pada Galaxy S24 FE. Namun, tidak dapat dipastikan ketepatan khabar angin ini kerana terdapat ura-ura yang mengatakan ia akan menggunakan pemprosesan yang lebih baik, Exynos 2400. Turut diperkatakan, telefon pintar Samsung ini kelak akan didatangkan dengan RAM 8GB dan pilihan storan 128GB atau 256GB.

Tiada sebarang pengumuman tarikh pelancaran Samsung Galaxy S25 FE setakat ini. Khabar angin sebelum ini mendakwa ia akan dilancarkan pada 19 September 2025. Namun, terdapat juga kemungkinan ia akan diperkenalkan pada persidangan Pameran Radio Antarabangsa Berlin (Internationale Funkausstellung Berlin, IFA) pada 4 September 2025.

Tinggalkan komentar