Fan Edition telah menjadi salah satu cara terbaik buat Samsung menawarkan pengalaman peranti mercu pada harga yang lebih berpatutan. Galaxy S25 FE pada tahun ini memberikan pengalaman yang menghampiri penggunaan S25 Plus.
Ringkasnya, ia menawarkan skrin besar 6.7-inci dengan badan yang diperbuat daripada kaca dan aluminium memberikan rasa yang lebih premium. Berbanding S24 FE sebelum ini, S25 FE kini lebih nipis, ringan, lasak dan menawarkan bateri yang lebih besar pada harga yang sama. Tidak lupa juga dengan suite lengkap Galaxy AI yang ditawarkan juga pada telefon pintar mercu baharu Samsung.
Rekabentuk dan Skrin
Tidak mengejutkan jika Fan Edition model Galaxy S25 ini hadir dengan reka bentuk yang sama dengan model-modelnya yang lain di dalam siri ini. Ia menampilkan rekaan minimalistik yang sama, lengkap dengan lingkaran-lingkaran kamera pada posisi yang sama. Letak sebelah-menyebelah dengan Galaxy S25 Plus mungkin boleh ada yang tak perasan perbezaannya.
Berat antara kedua-dua model tersebut juga sama pada 190 gram, dengan perbezaan adalah pada ukuran ketebalan Galaxy S25 FE yang lebih sedikit 0.1mm, pada 7.4mm. Kelasakannya juga mempunyai penarafan yang sama IP68 untuk debu dan air. Cuma perlindungannya sedikit kurang dari model Plus tersebut kerana menggunakan Gorilla Glass Victus+.
Berbanding model tahun lepas, bezel yang mengelilingi skrin 6.7-inci pada S25 FE kini lebih nipis berbanding S24 FE. Ia lebih mirip dengan model siri S25 tahun ini terutamanya dengan menawarkan teknologi skrin Dynamic AMOLED 2X dengan keupayaan HDR10+. Bezanya lagi dengan model S25 lain, ia hanya menawarkan resolusi FHD+ berbanding QHD+ yang bagi kebanyakan pengguna tidak begitu endah tentang perbezaan tersebut.
Pada pandangan saya, paparannya ini masih lagi jelas perinciannya dan lancar dengan kadar penyegaran semula 120Hz. Penggunaan teknologi AMOLED juga menjadikan warna dipaparkan lebih terang, dengan warna hitamnya lebih pekat likat.
Lain-lain ciri padanya didapati sama seperti Armor Aluminium yang terdapat pada siri S25 lain. Warna-warna pilihan yang ditawarkannya Navy, Icyblue, Jetblack dan White menyerlahkan lagi reka bentuk telefon pintar baharu Samsung ini.
Kamera
Tidak banyak yang boleh diharapkan dengan pembaharuan kamera pada Galaxy S25 FE kali ini. Fan Edition tahun ini menampilkan perkakasan yang sama baik dari kamera utama 50MP, kamera ultra-lebar 12MP dan juga kamera telefoto 3X 8MP.
Namun, ia hadir dengan penambahbaikan dari segi ProVisual Engine yang membantu meningkatkan kualiti imej. Ia meningkatkan dari segi pencahayaan, kawalan hingar dan kejituan tona warna kulit. Setakat yang saya cuba untuk waktu yang singkat ini, ia memberikan kualiti imej yang baik walaupun dalam cuaca yang mendung.
Lain cerita dengan perkakasan di sebelah hadapan S25 FE ini. Kameranya dipertingkatkan resolusi kepada 12MP berbanding 10MP pada keluaran yang lepas. Cuma perbezaan dari segi kualiti foto tidak begitu ketara penambahbaikannya.
Ciri-ciri suntingan foto dan video berkuasa AI termasuk melibatkan generatif turut ditawarkan pada Galaxy S25 FE ini. Antaranya ciri menghasilkan video gerak perlahan (slo-mo) segera dari video bukan gerak perlahan, suntingan video generatif, dan teknologi pemadaman audio (audio eraser) yang menurut Samsung kini semakin bagus.
Perisian dan Ciri-Ciri Lain

Ketika model-model Galaxy S25 lain masih menggunakan One UI 7 berasaskan Android 15, S25 FE lebih maju selangkah dari segi perisian dengan terus menggunakan One UI 8 berasaskan Android 16.
Beza antara One UI 7 dengan One UI 8 tidak lah begitu ketara. Namun bagi anda yang menggunakan perisian Samsung yang lama, segala penambahbaikan ini pastinya anda lebih hargai.
Di dalamnya ia menawarkan sokongan untuk segala ciri-ciri Galaxy AI yang ada pada telefon pintar mercu termasuk Now Brief. Anda juga boleh menggunakan fungsi Gemini Live sama seperti yang tersedia pada peranti mercu lain pada Galaxy S25 FE ini. Sokongan platform Galaxy AI kali ini juga dipertingkatkan seiring dengan prestasi Google Gemini yang kini dilihat lebih pintar.
Begitu juga dengan sokongan naik taraf sistem operasi selama tujuh tahun menjadikannya antara sokongan paling lumayan yang diterima bagi sesebuah telefon pintar peringkat menengah.
Galaxy S25 FE memanfaatkan kuasa pemprosesan buatan Samsung, Exynos 2400. Ia merupakan penambahbaikan dari keluaran tahun lepas yang menggunakan Exynos 2400e.
Bersama-sama dengan RAM 8GB, telefon pintar ini dapat dikendalikan dengan lancar terutama melibatkan tugasan harian seperti menggunakan aplikasi pelayar web. Kebuk pengewapannya juga 13% lebih besar bersama-sama bahan antaramuka thermal cecair baharu yang menurut Samsung dapat mengurangkan kepanasannya.
Dari segi bateri pula, kapasitinya ditingkatkan sedikit pada 4,900mAh berbanding 4,700mAh sebelum ini. Hanya kurang 100mAh dari Galaxy S25 Ultra yang mempunyai kapasiti 5,000mAh, seterusnya menjadikan kapasitinya ini paling besar di kalangan model-model siri FE.
Untuk pengecasan, ia menyokong pengecasan berwayar 45W selain turut menawarkan pengecasan nirwayar 15W. Ciri sokongan pengecasan Qi2 juga tersedia pada model ini, namun ia memerlukan casing khusus bermagnet memandangkan ia tidak mempunyai magnet terbina dalam.
Harga Samsung Galaxy S25 FE di Malaysia
Telefon pintar baharu Samsung ini hadir dengan empat warna pilihan Navy, Icy Blue, Jet Black, dan White dengan harga:
- Samsung Galaxy S25 FE 8GB + 256GB – RM3,099
- Samsung Galaxy S25 FE 8GB + 512GB – RM3,699
Anda boleh mendapatkan penjimatan RM250 apabila mendapatkan Samsung Reservation+ Voucher pada harga RM50. Baucar ini boleh digunakan untuk membuat pembelian Galaxy S25 FE dan siri Galaxy Tab S11 bermula dari 19 September sehingga 19 Oktober 2025.