Samsung secara rasminya akan memperkenalkan model baharu siri Galaxy S25 melalui Galaxy S25 Edge di dalam sebuah acara maya pada 13 Mei 2025 jam 9 pagi waktu Korea Selatan atau pukul 8 pagi di Malaysia. Setakat ini hanya tarikh pelancarannya sahaja yang diumumkan tanpa perincian mengenai spesifikasinya.
Laporan terdahulu mengandaikan pelancaran Galaxy S25 Edge akan dilakukan di dalam acara Unpacked secara sendiri. Di dalam pengumuman terkini ini bagaimanapun tidak menyatakan tentang Unpacked dengan pelancaran tersebut hanya dilakukan secara dalam talian.
Imej dari Samsung Newsroom
Sebelum ini, perincian mengenai S25 Edge termasuk spesifikasi dan harganya dijangka akan diumumkan di dalam acara pelancaran pada April, namun ia telah ditundakan. Menurut maklumat yang tertiris, telefon pintar ini akan menampilkan paparan skrin AMOLED 120Hz dan menggunakan pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8 Elite dengan RAM 12GB dan bateri berkapasiti 3,900mAh. Selain itu, telefon pintar ini juga didatangkan dengan kamera utama 200MP dan kamera ultra lebar 12MP di belakangnya.
Samsung bagaimanapun mengesahkan model baharu ini akan menampilkan kamera utama 200MP, namun tidak menyatakan maklumat lanjut tentang betapa nipisnya telefon pintar ini serta keupayaan kuasa AI di dalamnya. Pastinya Galaxy S25 Edge akan dilengkapkan dengan Galaxy AI, sama seperti yang terdapat pada siri S.
Menurut Samsung, Galaxy S25 Edge bukan sekadar telefon pintar yang nipis, ia menatijahkan pencapaian di dalam kejuruteraan tepat bagi mewujudkan pengalaman premium.