Telefon pintar mercu keluaran Samsung hadir dalam pelbagai bentuk dan jenis apa yang diterima oleh pengguna bergantung pada negara mana ia dipasarkan. Misalnya untuk siri Galaxy S keluaran kebelakangan ini, sesetengah pasaran menerima model menggunakan cip Qualcomm Snapdragon. Namun, ada sesetengahnya pula menerima model yang menggunakan cip buatan Samsung sendiri Exynos.
Cip berkenaan seringkali dianggap tidak setara dengan cip Snapdragon dari Qualcomm sungguhpun memperlihatkan spesifikasi yang sama di atas kertas. Ada sesetengah pengguna di pasaran Eropah kerap membanding-bandingkan telefon pintar mercu yang ada pada pasaran mereka dengan model yang sama di pasaran Amerika Utara dan Asia.
Walaubagaimanapun, perkara ini mungkin akan berubah pada tahun hadapan. Penganalisis rantaian bekalan tersohor, Ming-Chi Kuo berpendapat Samsung Galaxy S23 pada tahun hadapan mungkin tidak lagi menawarkan model dengan cip Exynos. Kesemua model Samsung Galaxy S23 berkenaan mungkin akan menggunakan cip Qualcomm sahaja di seluruh pasaran.
(1/3)
1. Qualcomm will likely be the sole processor supplier for Samsung Galaxy S23 (vs. 70% shipment proportion for S22) thanks to the next flagship 5G chip SM8550 made by TSMC 4nm.— 郭明錤 (Ming-Chi Kuo) (@mingchikuo) July 8, 2022
Punca sebenar peralihan ini dikatakan ada kaitan dengan prestasi Exynos 2300 pada tahun hadapan yang mungkin tidak mampu menyaingi prestasi cip SM8550 dari Qualcomm. Cip tersebut berkemungkinan besar akan diperkenalkan sebagai Snapdragon 8 Gen 2. Malah, pelancaran cip Exynos 2200 pada tahun ini juga dilaporkan tidak mencapai hasrat dengan pelbagai ulasan negatif mengenainya.
Pun begitu, ini tidak bermakna Samsung tidak lagi mengeluarkan cip sendiri di masa hadapan. Buat masa ini, Samsung dikatakan sedang berusaha keras menghasilkan cip khusus untuk Samsung Galaxy dan dijangka akan hadir menerusi Galaxy S25 pada tahun 2025.













