Khabar angin terbaru mengatakan Samsung berkemungkinan akan melancarkan telefon Galaxy S21 Fan Edition (FE) minggu hadapan.

Telefon berkenaan, menurut maklumat tertiris tersebut pada asalnya akan dilancarkan pada Ogos. Tetapi telah ditunda berikutan kekurangan bekalan komponen.

Maklumat mengenai pelancaran Galaxy S21 FE ini telah ditiriskan oleh Mauri QHD menerusi Twitter. Menurutnya, acara pelancaran tersebut akan berlangsung pada minggu hadapan, 8 September 2021. Pun begitu, tidak dapat dipastikan sejauh mana kesahihan maklumat yang ditiriskan tersebut.

Dalam pada masa yang sama, terdapat maklumat tertiris lain dari sumber berbeza yang dilihat mempunyai kaitan. Pentiris maklumat tegar, Max Weinbach telah berkongsikan foto tempat Galaxy S21 FE akan dipamerkan di sebuha kedai yang tidak dinamakan. Ini menunjukkan sesetengah negara sudah mula bersedia untuk menjual telefon Samsung tersebut.

Siri Fan Edition merupakan siri telefon Samsung yang ditawarkan pada harga yang lebih mesra pengguna, tetapi masih lagi mengekalkan ciri utama telefon mercu berkenaan.

Ia pertama kali diperkenalkan melalui Galaxy Note FE pada 2017 yang menawarkan Galaxy Note 7 bersaiz lebih kecil tetapi diperkemaskan dan bateri yang lebih baik. Fan Edition ini hadir beberapa tahun kemudia menerusi Galaxy S20 FE pada Oktober tahun lalu, dan pada tahun ini pula Galaxy Tab S7 FE.

Sama ada Samsung benar-benar melancarkan Samsung Galaxy S21 FE pada minggu depan, kita masih lagi perlu menunggu kenyataan rasmi mengenainya. Jika benar, kita mungkin akan menerima maklumat rasmi dalam tempoh yang terdekat ini.

Tinggalkan komentar