Sudah lebih dari setahun Samsung melancarkan Galaxy S20 Fan Edition (FE) dan kini tiba giliran untuk model yang berkesinambungan darinya memunculkan diri. Samsung Galaxy S21 Fan Edition (FE) 5G yang namanya diberi, telah hadir ke pasaran secara rasminya dengan beberapa penambahbaikan baharu mantap yang diketengahkan olehnya.
Antara pembaharuan yang dibawakan olehnya termsuklah pemilihan penggunaan cipset yang kali ini menggunakan cipset keluaran Samsung sendiri. Tidak seperti S20 FE yang menggunakan Snapdragon 865, Galaxy S21 FE 5G menggunakan cipset 5nm Samsung Exynos 2100.
Untuk paparannya, S21 FE ini menggunakan panel Dynamic AMOLED 2X FHD+ 6.4-inci dengan kadar penyegaran semula 120Hz. Dari segi kekemasan rupa luarannya, telefon pintar ini dirasakan amat selesa ketika dipegang sungguhpun menampilkan rekaan berskrin rata.
Mantap dan Bergaya
Bercakap mengenai rupa bentuk luarannya, telefon ini menyediakan butang kuasa dan kawalan audio di sebelah sisi kanan. Ia merupakan kebiasaan seperti yang terdapat pada kebanyakan telefon keluaran Samsung.
Pada sebelah sisi bawahnya pula disediakan port USB-C untuk tujuan pengecasan dan pemindahan data. Telefon ini juga menyokong pengecasan pantas sehingga 25W secara berwayar dan 15W untuk secara nirwayar untuk mengecas baterinya yang berkapasiti 4,500mAh.
Bahagian belakang Galaxy S21 FE 5G ini hadir dengan kemasan matte dan sebanyak empat warna pilihan untuk dipilih pengguna iaitu:
- Graphite (Hitam)
- Olive
- Lavender
- White
Di antara keempat-empat pilihan warna ini, saya secara peribadinya cenderung untuk memilih warna lavender kerana ia lebih menonjol berbanding warna-warna lain yang ditawarkan pada model ini.
Dari segi antaramukanya, Samsung Galaxy S21 FE menggunakan One UI 4 yang berasaskan Android 12. Tidak banyak perubahan ketara dari segi kepenggunaan dan ini bakal memberikan kemudahan buat pengguna yang ingin beralih ke telefon pintar Samsung baharu.
Kepengguunaannya juga amat lancar dan ini disebabkan oleh faktor cipset Exynos 2100 yang dilengkapkan pada telefon pintar ini. Dalam pada masa yang sama, Samsung turut menjanjikan sokongan sehingga ke tiga kemaskini OS Android untuk tempoh beberapa tahun yang akan datang.
Keupayaaan kamera Samsung Galaxy S21 FE 5G
Tidak ketinggalan, terdaapat tetapan tri-kamera disediakan pada bahagiaan belakangnya yang mengandungi kamera utama 12MP f/1.8, ultra-lebar 12MP f/2.2 dan telefoto 8MP f/2.4 dengan OIS dan zum optikal 3x. Keupayaan zum yang dikenali sebagai Space Zoom juga disediakan yang membolehkan zum sehingga 30x dapat dilakukan.
Seperti kebanyakan telefon pintar mercu keluaran Samsung yang lain, kameranya ini juga didatangkan dengan pelbagai fungsi yang hebat untuk melengkapkannya. Paling utama adalah perisian pembetulan imej berkuasa AI, serta pelbagai pilihan penuras dan kesan khas untuk latar belakang. Turut disediakan keupayaan dwi-rakaman yang membolehkan telefon ini mengaktifkan kamera utama dan swafoto untuk rakaman secara serentak.
Pada sebelah hadapannya pula, di bahagian berpenebuk lubang disediakan sebuah kamera 32MP yang boleh digunakan juga untuk swafoto. Secara lalai (default), kamera ini tidak akan mengambil foto pada 32MP. Anda perlu mengubah tetapan tersebut secara manual jika menginginkannya.
Lain-lain, dari segi keselesaan kepenggunaannya telefon ini dirasakan sebagai antara telefon yang amat ringan dari segi jisimnya. Pencapaian yang menakjubkan jika faktor kapasiti baterinya 4,500mAh turut diambil kira.
Buat masa ini masih terlalu awal untuk saya membuat penilaian keseluruhan penambahbaikan secara terperinci yang dibawakan oleh Samsung Galaxy S21 FE berbanding Galaxy S20 FE. Ulasan lanjut yang lebih mendalam mengenai telefon pintar mercu baharu keluaran Samsung ini akan diterangkan dalam kesempatan yang akan datang.
Anda boleh mendapatkan Samsung Galaxy S21 FE pada harga bermula dari RM2,899 untuk varian 128GB. Manakala varian storan 256GB pula boleh didapati pada harga RM3,099. Dapatkannya menerusi Samsung Malaysia.













