Telefon pintar paling premium di antara siri Galaxy S20, Samsung Galaxy S20 Ultra 5G bakal hadir ke pasaran Malaysia bersama-sama siri Galaxy S20 lain. Galaxy S20 Ultra 5G didatangkan dengan paparan 6.9-inci, kamera utama 108MP, Zum Super Resolusi 100x, kamera swafoto 40MP, dan bateri 5000mAh.
Apa yang paling menarik adalah, model Galaxy S20 Ultra ini menyokong rangkaian 5G sebagai standard dan dimaklumkan tiada model 4G ditawarkan dalam variasinya. Justeru, menjadikan telefon pintar ini menjadi telefon pintar 5G Samsung pertama di Malaysia.
Dari segi sokongan rangkaian 5G, Samsung memaklumkan Galaxy S20 Ultra menyokong kedua-dua jenis rangkaian 5G iaitu jenis rangkaian 5G berdiri-sendiri (Standalone, SA) dan bukan berdiri-sendiri (Non-Standalone, NSA). Telefon pintar terbaru Samsung ini juga menyokong frekuensi Sub6 dan mmWave selain sokongan pelaksanaan Perkongsian Spektrum Dinamik (Dynamic Spectrum Sharing).

Dilengkapkan dengan storan dalaman 128GB sebagai standard, Galaxy S20 Ultra bakal dijual pada harga RM 4,999. Bersempena pelancarannya juga, Samsung Malaysia kini menawarkan Galaxy Buds+ secara percuma bagi setiap pembelian melalui pra-tempahan.
Maklumat lanjut dan pra-tempahan Samsung Galaxy S20 Ultra kunjungi laman web rasmi Samsung Malaysia.













