Harga Samsung Galaxy Note 9 di Malaysia sudah kita ketahui pada minggu lepas. Lanjutan dari itu, pengeluar peranti elektronik terkemuka Korea Selatan ini telah melancarkan telefon pintar mercu berkenaan di Malaysia pada hari ini.
Sungguhpun membawakan pelbagai penambahbaikan dari segi perkakasan dan perisian, Galaxy Note 9 masih lagi mengekalkan ciri estetika uniknya – S-Pen. Pastinya, S-Pen versi terkini ini hadir dengan fungsi-fungsi yang lebih baru seperti boleh dipadankan secara sambungan Bluetooth.
Seperti yang pernah dinyatakan di dalam artikel sebelum ini, telefon pintar mercu ini hadir dengan dua jenis varian – ROM 128GB / RAM 6GB dan ROM 512GB / RAM 8GB. Tidak ketinggalan, bateri Samsung Galaxy Note 9 turut dinaiktarafkan dengan kapasiti 4,000mAh.
Lain-lain spesifikasi termasuklah paparan Infinity Display 6.4-inch 1440p Super AMOLED, chipset Exynos 9810, kamera utama dengan sistem dwi-kamera 12MP + 12MP bersama-sama aperture boleh laras dan OIS berganda. Bagi kamera hadapannya pula, sebuah lensa 8MP disediakan bersama-sama autofocus.
Samsung Galaxy Note 9 akan hadir di pasaran Malaysia bermula dari 24 August ini, dengan harga jualan yang ditawarkan RM3,699 dan RM4,599 masing-masing untuk model 128GB dan 512GB. Terdapat tiga pilihan warna yang ditawarkan di dalam pasaran Malaysia, iaitu: Ocean Blue (dengan S Pen warna kuning terang), Metallic Copper, dan juga, Midnight Black.