Berhubung dengan keputusan yang telah dibuat oleh Pentadbir Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (US Federal Aviation Administration) dan syarikat-syarikat penerbangan utama lain, Jabatan Penerbangan Awam Malaysia telah mengeluarkan perintah larangan membawa Samsung Galaxy Note 7 di dalam mana-mana pesawat penerbangan yang tertakluk di bawah bidang kuasa jabatan berkenaan.
Arahan berkenaan telah dikuatkuasakan bermula 17 Oktober 2016 dan para kakitangan penerbangan yang terlibat perlu memastikan tiada individu yang membawa peranti berkenaan sama ada di dalam kabin, bagasi kabin atau bagasi. Para pemilik Note 7 juga dikehendaki untuk mengisytiharkan peranti berkenaan jika ada bersama sebelum berlepas.
Bagaimanapun, arahan berkenaan tidak menyatakan untuk menghalang mana-mana penumpang yang membawa Note 7 dari menaiki pesawat. Malah, tiada sebarang denda dikenakan sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat. Cuma, apa yang boleh kakitangan-kakitangan penerbangan lakukan pada mana-mana individu yang membawa peranti berkenaan sewaktu penerbanagan hanyalah mengarahkannya untuk mematikan dan menyahaktif sebarang fungsi yang boleh menghidupkannya secara auto.
Turut diingatkan mana-mana individu yang membawa Note 7 sewaktu penerbangan untuk tidak menyimpannya di ruang simpanan di atas penumpang, poket belakang seat atau bagasi.
Sumber berita diperoleh dari Bernama