Samsung Galaxy Note 5 merupakan antara phablet terbaik yang hadir ke pasaran sekarang ini. Namun, ia mempunyai masalah dari segi reka bentuknya yang mampu mendatangkan kerosakan kekal terhadap peranti berkenaan.

Masalah ini mula dikesan oleh Android Police apabila pena stylus untuk Samsung Galaxy Note 5, S-Pen dimasukkan secara terbalik pada ruang khas peranti berkenaan.

Menurut Samsung di dalam satu kenyataan rasminya berkenaan isu ini menyatakan bahawa pengguna perlu terlebih dahulu membaca manual pengguna yang disediakan sebelum mula menggunakan peranti ini untuk mengelakkan masalah seperti memasukkan pen secara terbalik.

Cara yang betul untuk menyarungkan semula S-Pen ke dalam Samsung Galaxy Note 5 adalah dengan memasukkan bahagian yang tajam terlebih dahulu dan bukannya pada bahagian tumpulnya. Jika pengguna telah memasukkannya secara terbalik, berkemungkinan besar S-Pen akan tersangkut pada spring di dalam ruang simpanan pen untuk Samsung Galaxy Note 5.

Masalah ini tidak timbul pada Samsung Galaxy Note versi terdahulu kerana rekaan S-Pen yang terdahulu mempunyai takuk yang mampu menghalang S-Pen dari dimasukkan secara terbalik.

Fungsi-fungsi lain Note 5 yang banyak menggunakan ciri khas S-Pen tidak dapat digunakan apabila S-Pen tersangkut pada sarungnya sebagaimana yang dipaparkan pada video ini.

Sehingga kini, respon dari Samsung dilihat tidak banyak membantu dan para pengguna hanya dinasihatkan supaya berhati-hati dalam mengendalikan pena stylus S-Pen ini.

Sumber info diperoleh dari Android Police

2 KOMEN

Tinggalkan komentar