Samsung Galaxy M53 5G kini boleh dipra-tempah di Malaysia dan ditawarkan secara eksklusif menerusi Senheng. Telefon pintar terkini di bawah siri Galaxy M ini hadir dengan cipset MediaTek, kuad-kamera dan bateri berkapasiti 5,000mAh.
Sama seperti model sebelumnya, Samsung Galaxy M53 5G turut menampilkan paparan Super AMOLED 6.7-inci dengan kadar penyegaran semula 120Hz dengan menempatkan kamera hadapan pada bahagian tengah atasnya.
Apa yang membezakannya kali ini adalah pada bahagian belakangnya dengan penambahan satu kamera lagi. Turut disediakan pengimbas cap jari pada bahagian sisi dan sokongan dwi-nano SIM. Tiada bicu audio 3.5mm disediakan.
Melalui cipset MediaTek Dimensity 900 dengan sokongan 5G, telefon pintar ini turut menggandingkan grafik Mali-G68 MC4, RAM 8GB, dan storan dalaman 256GB. Memorinya boleh diperluaskan secara maya sehingga 16GB melalui fungsi RAM Plus. Manakala storannya pula boleh dikembangkan sehingga 1TB melalui slot kad mikroSD yang disediakan.
Selain itu, Galaxy M53 5G juga dilengkapkan dengan sokongan Bluetooth 5.2 dan NFC, serta antaramuka Samsung One UI 4.1 yang berasaskan Android 12.
Kuasa bagi telefon pintar ini pula hadir menerusi bateri berkapasiti 5,000mAh dengan pengecasan pantas 25W melalui port USB-C. Bagaimanapun, sama seperti telefon-telefon pintar Samsung keluaran tahun ini, pengecasnya tidak disertakan dan perlu dibeli secara berasingan.
Untuk imejnya pula, Samsung Galaxy M53 5G menyediakan kuad kamera yang mengandungi kamera utama 108MP, ultra-lebar 8MP, kamera kedalaman 2MP dan kamera makro 2MP.
Ini merupakan penambahbaikan besar dari model keluaran tahun lepas terutamanya dari segi bilangan kamera dan juga saiz sensornya. Ia juga hampir menyamai dengan telefon pintar peringkat menengah Samsung yang lain seperti Galaxy A73 5G.
Tidak ketinggalan, di sebelah hadapannya disediakan sebuah kamera 32MP yang boleh digunakan bagi tujuan swafoto. Sama seperti kamera pada sebelah belakangnnya, kamera hadapannya ini juga berkeupayaan merakamkan video beresolusi 4K pada kadar 30 fps.
Samsung Galaxy M53 5G dijangka akan hadir ke pasaran Malaysia pada Khamis ini, 16 Jun 2022 pada harga RM1,999. Bagi anda yang berminat, anda boleh membuat pra-tempahan menerusi kedai dalam talian Senheng dan juga SenQ.













