Selepas melancarkan telefon pintar Galaxy M10 dan Galaxy M20 hujung bulan lepas, Samsung mensasarkan untuk mendedahkan sebuah lagi model telefon pintar Galaxy M30 pada minggu depan. Sama seperti kedua-dua model Galaxy M sebelum ini, Samsung Galaxy M30 bakal diperkenalkan buat julung kalinya ke pasaran India terlebih dahulu.

Setakat ini pihak Samsung masih lagi belum berkongsikan sebarang maklumat mengenai spesifikasi perkakasan Galaxy M30. Apa yang diketahui setakat ini hanyalah ia bakal dilengkapi dengan paparan Infinity U 6.4-inch Super AMOLED Full-HD+.

Berdasarkan imej yang diterbitkan oleh Samsung, didapati Galaxy M30 menempatkan kamera swafotonya pada takuk paparan hadapannya yang berbentuk seperti titisan air. Turut dipersembahkan adalah kamera utamanya yang kelihatan menampilkan tetapan tiga kamera bersebelahan dengan pengimbas cap jari.

Jika maklumat yang tertiris sebelum ini didapati benar, besar kemungkinan Galaxy M30 dilengkapi dengan cipset Exynos 7904 dengan RAM 4GB/6GB dan ROM 64GB/128GB. Selain itu, Galaxy M30 turut dijangka akan memuatkan bateri berkapasiti 5,000mAh berserta kamera utama dengan tetapan tiga kamera – satu kamera 13MP dan dua kamera 5MP. Untuk kamera swafotonya pula, ia dilengkapkan dengan satu kamera 16MP.

Galaxy M30 dijadualkan akan dilancarkan di India pada 27 Februari 2019 dan boleh didapati secara eksklusif menerusi Amazon India. Tiada sebarang maklumat terkini diperoleh bilakah telefon pintar model terbaru Samsung ini akan memasuki pasaran rantau lain termasuk Malaysia.

Sumber berita diperoleh dari Twitter Samsung Mobile

Tinggalkan komentar