Samsung memperkenalkan anggota keluarga terbaru di dalam barisan siri telefon pintar Galaxy M melalui kehadiran M10s dan M30s. Kedua-dua model terbaru ini didatangkan dengan tanda harga yang berpatutan pada spesifikasi pertengahan dengan bateri yang berkapasiti besar.

M10s disasarkan bagi mengukuhkan kedudukan Samsung di dalam pasaran peranti peringkat pemula. Manakala M30s pula dijangka mampu menguatkan lagi penguasaan Samsung di dalam pasaran telefon pintar peringkat pertengahan.

Galaxy M10s

Hadir dengan beberapa ciri penambahbaikan dari M10, telefon pintar ini dilengkapkan dengan paparan Super AMOLED 6.4-inci HD+ bersama-sama sebuah kamera swafoto 8MP.

Di bahagian belakang telefon pintar ini masih lagi mengekalkan ciri rekabentuk yang sama seperti model sebelumnya, tetapi dibezakan dengan penambahan penderia cap jari. Untuk kamera utamanya, telefon pintar ini menyediakan tetapan kombo dwi-kamera; 13MP f/1.9 dan lensa ultra-lebar 5MP f/2.2.

Cipset Exynos 7884B 1.6GHz digunakan oleh telefon pintar ini dengan gandingan RAM 3GB dan storan dalaman 32GB. Bateri berkapasiti 4,000mAh yang digunakan oleh M10s menyokong pengecasan pantas 15W melalui port USB Type-C.

Ia menggunakan sistem operasi Samsung OneUI 1.5 berasaskan Android 9 Pie. Boleh didapati dengan pilihan warna Stone Blue dan Piano Black, telefon pintar ini mula dijual di pasaran India pada 29 September ini dengan harga jualan Rs. 8999 (bersamaan RM528).

Galaxy M30s

Seterusnya untuk M30s pula, telefon pintar ini didatangkan dengan bateri berkapasiti 6,000mAh – antara yang terbesar dikalangan peranti keluaran Samsung. Sebelum ini M30 menawarkan bateri berkapasiti 5,000mAh.

Di bahagian hadapan telefon pintar ini, Samsung menyediakan paparan Super AMOLED 6.4-inci bersama-sama kamera swafoto 24MP. Di bahagian belakangnya pula, kamera utama dengan tetapan tri-kamera disediakan iaitu – lensa utama 48MP F/2.0, lensa utlra-lebar 8MP F/2.2 dan sebuah lensa berpenderia kedalaman, 5MP. Tidak ketinggalan, pengimbas cap jari ditempatkan di sebelah atas tanda jenama Samsung.

M30s dikuasakan oleh cipset 10nm baru Exynos 9611 yang menggabungkan empat teras Cortex A73 berkelajuan sehingga 2.3 GHz dan empat teras Cortex A53 dengan setiap berkelajuan sehingga 1.7GHz.

Telefon pintar ini hadir dengan pilihan RAM 4GB/6GB dan storan dalaman 64GB/128GB yang boleh dikembangkan melalui slot kad mikroSD. Sistem operasinya menggunakan Samsung OneUI 1.5 berasaskan Android 9 Pie. Ia juga menyokong penggunaan dwi-SIM selain turut menyediakan bicu audio 3.5mm dan radio FM.

M30s boleh didapati dengan pilihan warna Opal Black, Sapphire Blue dan Pearl White bermula 29 September ini melalui Amazon India dan Samsung e-Store India. Harga yang ditawarkan bermula dari Rs. 13,999 (RM822) untuk model RAM 4GB/ ROM 64GB manakala model RAM 6GB/ ROM 128GB pula harganya adalah dari Rs. 16,999 (RM999).

Tinggalkan komentar