Selepas pelbagai desas-desus mengenainya, pihak Samsung kini secara rasminya mengesahkan kewujudan siri telefon pintar keluaran terbarunya, Galaxy M apabila melancarkan halaman mini khusus untuknya. Bagaimanapun, setakat maklumat yang diterima, siri Galaxy M ini tidak mensasarkan pasaran global.
Sebagaimana yang telah didedahkan oleh Samsung India, siri Galaxy M bakal dilancarkan secara rasminya 28 Januari ini. Pada masa yang sama, siri telefon pintar ini juga bakal dijual secara eksklusif melalui Amazon India apabila sebuah halaman mini khusus untuk jualannya telah dibuka.
Tiada sebarang maklumat berkenaan spesifikasinya telah diterima setakat ini dan berdasarkan foto-foto yang diterbitkan melalui laman mini siri telefon pintar berkenaan didapati Galaxy M ini hadir dengan paparan Infinity M dengan takuk berbentuk titisan air. Dari segi reka bentuk luaran, rekaannya lebih mirip dengan Galaxy A9 (2018) dan Galaxy A7 (2018).
Juga, telefon pintar ini didakwa mempunyai sokongan pengecasan pantas bersama-sama kapasiti baterinya yang agak besar. Tidak dapat dipastikan sama ada telefon pintar keluaran Samsung ini akan menemui pengguna di Malaysia atau tidak kelak.
Sumber berita diperoleh dari Samsung India













