Sungguhpun terdapat pelbagai maklumat berhubung peranti Galaxy yang akan datang muncul di internet, terdapat seperkara lagi yang mampu mencuri perhatian kita.

Awal hari ini, Samsung telah mendedahkan peranti baharu yang akan dilancarkan pada 9 Februari merupakan produk Galaxy kelompok pertama yang mengandungi plastik yang dikitar semula. Plastik yang digunakan merupakan plastik-plastik lama yang dibuang ke dalam lautan.

Menurut Samsung, sumber plastik yang digunakan sebagai bahan kitar semula tersebut bukan sekadar dari botol-botol air dan beg-beg plastik terpakai. Ia juga turut melibatkan pukat-pukat perikanan yang telah dibuang.

Berdaasrkan sebuah laporan yang diterbitkan pada 2009, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyatakan pukat-pukat terpakai baik yang dibuang mahupun hanyut memberikan kesan negatif terhadap alam sekitar dan juga ekonomi.

Usaha Samsung menggunakan bahan terpakai untuk produk-produk peranti mudah alihnya bukanlah sesuatu yang baharu. Ogos tahun lalu, Samsung telah menyenaraikan usaha tersebut sebagai salah satu amalan kelestarian yang disasar bakal dilaksanakan menjelang 2025.

Amalan tersebut turut merangkumi pengurangan penggunaan tenaga pengecas telefon ketika di dalam keadaan bersedia, pengurangan penggunaan plastik dalam pembungkusan dan juga e-sisa.

Tinggalkan komentar