Samsung telah melancarkan beberapa siri terbaru telefon pintar model Galaxy di Malaysia awal minggu ini. Antara model terbaru yang dilancarkan termasuklah telefon pintar peringkat pertengahan, Samsung Galaxy J4 dan J6 terbaru untuk versi tahun 2018.
Menyediakan paparan HD Super AMOLED 5.5-inci, Samsung Galaxy J4 dikuasakan oleh pemprosesan Samsung Exynos 7 Quad 7570 berkelajuan 1.4GHz. Telefon pintar ini juga dilengkapi dengan RAM 2GB dan storan dalam 16GB, berserta menyokong pengembangan storan tambahan melalui kad mikroSD sehingga 256GB.
Galaxy J4 juga menyediakan kamera 13MP f/1.9 pada bahagian belakangnya berserta kamera swafoto 5MP f/2.2 dengan tiga peringkat pencahayaan flash LED. Telefon pintar ini juga menyediakan bateri 3000mAh yang boleh ditanggalkan yang mampu bertahan sehingga 13 jam penggunaan internet LTE dan 18 jam main semula video.
Bagi Galaxy J6 yang sedikit tinggi tahap spesifikasinya pula, ia menawarkan paparan 5.6-inci HD+ 18.5:9 Super AMOLED display dan dikuasakan dengan pemprosesan yang lebih berkuasa, Samsung Exynos 7 Octa 7870 1.6GHz. RAM dan juga storan dalamannya juga lebih besar iaitu masing-masing, 3GB dan 32GB. Tidak ketinggalan, ruang pengembangan melalui kad mikroSD yang menyokong sehingga 256GB.
Untuk kameranya pula, Samsung Galaxy J6 2018 menyediakan kamera belakang 13MP f/1.9 dan 8MP f/1.9 untuk kamera hadapannya yang mana turut menyediakn flash LED tiga peringkat yang sama dengan J4. Telefon pintar ini turut menyediakan bateri berkapasiti 3,000mAh. Bezanya dengan J4, bateri Galaxy 76 tidak boleh ditanggalkan.
Harga jualan untuk Galaxy J4 telah dicadangkan pada RM599 dan bagi Galaxy J6 pula, harganya adalah RM799. Pembeli yang berkesempatan membeli dalam tempoh sehingga 31 Mei ini berpeluang untuk menerima diskaun sehingga 6% bersempena promosi Aidilfitri dari Samsung.













