Baru-baru ini, terdapat laporan yang mendakwa Samsung bakal mengeluarkan peranti Android Go dan ianya bakal dikenali sebagai Galaxy J2 Core. Menurut The Verge, peranti berkenaan kini sudah pun sedia untuk dipasarkan.
Mengikut spesifikasi yang dilaporkan oleh The Verge, telefon pintar ini menggunakan pemprosesan empat teras, Exynos 7570 bersama-sama RAM 1GB dan storan dalaman 8GB. Selain itu, telefon pintar murah Samsung ini juga menawarkan paparan LCD 960 x 540, bateri 2,400 mAh, kamera utama 8MP dan kamera hadapan 5MP. Telefon pintar ini menggunakan sistem operasi Android Go yang berasaskan Android 8.1 Oreo.
Berdasarkan spesifikasinya, umum dapat mengetahui bahawa telefon pintar ini hanya mampu sekadar menjalankan operasi-operasi kecil-kecilan harian sahaja dan tidak mampu menjalankan tugasan-tugasan aplikasi berat lain seperti suntingan video mahupun aplikasi permainan video dengan grafik berkualiti tinggi.
Samsung Galaxy J2 Core bakal tiba ke pasaran Malaysia dalam minggu ini dengan harga saranan bermula dari RM379.













