Menyertai Samsung Galaxy Z Fold3, Z Flip3 dan siri Galaxy Watch4, sebuah lagi peranti yang diumumkan menerusi acara Galaxy Unpacked, Galaxy Buds2 turut disasarkan akan tiba ke pasaran tempatan September ini. Pra-tempahan bagi fon telinga Samsung ini juga akan dibuka pada Khamis ini, 19 Ogos.

Secara ringkasnya, Galaxy Buds2 yang didatangkan dengan ciri Active Noise Cancelling (ANC), sama seperti yang ditawarkan pada Samsung Buds Pro dan Buds Live.

Selain itu, Buds2 juga akan memperkenalkan ciri baharu yang memanfaatkan kaedah pembelajaran mesin bagi menapis hingar yang tidak dikehendaki ketika panggilan dibuat.

Dari segi ketahanan bateri, Samsung mendakwa fon telinga baharu ini mampu digunakan sehingga lima jam tanpa henti apabila ANC diaktifkan. Ia juga boleh digunakan sehingga 15 jam jika digunakan bersama-sama bekas pengecasan.

Apabila fungsi ANC ini dmatikan, Buds2 mampu bertahan waktu penggunaannya selama 7.5 jam tanpa henti dan 21.5 jam jika digunakan bersama-sama bekas pengecasnya.

Samsung Galaxy Buds2 ditawarkan dalam pilihan warna Graphite, White, Lavender dan Olive. Warna-warna ini juga adalah sama dengan bekas pengecasnya.

Harga bagi Galaxy Buds2 ini akan dijual pada RM 499, harga yang sama dengan fon telinga Galaxy Buds ketika ia dilancarkan ke Malaysia sebelum ini.

Tinggalkan komentar