Utama Aksesori Earbuds Samsung Galaxy Buds 3 FE kini boleh didapati pada Harga RM499

Samsung Galaxy Buds 3 FE kini boleh didapati pada Harga RM499

34
0

Samsung mengumumkan Galaxy Buds 3 FE, fon putik (earbuds) baharu berharga bajet boleh didapati hari ini 5 September 2025 pada harga RM499.

Model berkesinambungan dari Galaxy Buds FE ini menampilkan reka bentuk baharu bertangkai yang selari dengan model Galaxy Buds 3. Tangkai ini membolehkan kawalan berasaskan gestur seperti menyapu untuk mengawal kelantangan bunyi dan memicit bagi memain atau menjedakan media.

Fon putik ini hadir dalam pilihan warna Gray dan Black, dan menampilkan kemasan matte dwi-tona dengan serlahan semi-lutsinar. Ia juga mempunyai penarafan IP54 bagi kerintangan debu dan air.

Di dalamnya, Galaxy Buds 3 FE dilengkapkan dengan pemacu lebih besar 11mm, bersama-sama ANC yang ditambah baik dan mod Ambient. Untuk kualiti audio ketika panggilan yang lebih jelas, Samsung turut mengubah kedudukan kedudukan mikrofonnya serta memperkenalkan teknologi Crystal Clear Call berkuasa AI.

Selain itu, fon putik ini juga menyokong Bluetooth 5.4 dan Auto Switch untuk ketersambungan yang lebih lancar antara peranti. Turut disokong codec audio merangkumi  AAC, SBC, dan SSC. Seperti produk-produk terkini keluaran Samsung, Buds 3 FE turut memuatkan beberapa ciri-ciri AI seperti arahan suara, dan terjemahan melalui aplikasi Galaxy AI Interpreter.

Untuk bateri, Samsung mendakwa fon putik ini menawarkan masa penggunaan sehingga enam jam untuk main semula muzik dengan ANC dihidupkan. Bekas pengecasnya pula melanjutkan masa penggunaan sehingga ke 24 jam. Waktu penggunaan boleh dipanjangkan sehingga 8.5 jam apabila fungsi ANC dimatikan dan 30 jam jika digunakan bersama-sama bekas penyimpanannya.

Tinggalkan komentar