Samsung akhirnya telah melancarkan Galaxy Buds 2 menerusi acara Galaxy Unpacked selepas pelbagai desas-desus mengenai fon telinga nirwayar ini diperkatakan beberapa bulan yang lalu.
Fon telinga nirwayar ini didatangkan dengan fungsi paling mustahak iaitu active noise cancelling (ANC). Galaxy Buds 2 juga direka semula oleh Samsung bagi menyediakan lebih keselesaaan untuk pemakaian sepanjang hari.
Pada masa yang sama, fon telinga nirwayar ini juga menyediakan kualiti bunyi premium hasil dari sokongan ANC. Turut disediakan mod bunyi ambien yang membolehkan anda mengawal tahap kehingaran sekeliling anda melaluinya.
Kecil di tangan, padu di telinga
Dari segi rekaan, Samsung menyatakan fon telinga nirwayar ini merupakan yang paling kecil dan paling ringan pernah dihasilkan mereka iaitu dengan seberat 5 gram sahaja bagi setiap pasang.
Ia juga hampir dengan ciri Galaxy Buds Pro yang mempunyai woofer dan tweeter pada setiap pasang fon telinga ini untuk kualiti bunyi bass yang lebih baik. Galaxy Buds 2 juga didatangkan dengan empat warna pilihan iaitu grafit, putih, hijau zaitun dan lavender.
Turut disediakan dua buah mikrofon beamforming, sebuah mikrofon dalam dan satu unit ambilan suara bagi meningkatkan kualiti panggilan ketika penggunaan. Selain itu, anda juga boleh mengubah tetapan penyama (equalizer) dari telefon anda mengikut citarasa anda.
Samsung turut memberitahu pengguna boleh menggunakan fon telinga ini secara berterusan selama 5 jam dengan ANC diaktifkan. Anda juga boleh melanjutkan masa penggunaannya sehingga 15 jam melalui bekas pengecasnya.
Jika anda mematikan fungsi ANC, anda boleh melanjutkan tempoh penggunaannya kepada 7.5 jam dan 29 jika menggunakannya bersama-sama bekas pengecasnya. Bekas pengecas tersebut juga boleh dicaskan dengan kaedah nirwayar. Melengkapkan cirinya, Galaxy Buds ini mempunyai penarafan tahap kerintangan air IPX2.
Samsung Galaxy Buds dijual di pasaran pada harga $ 149.99 (~RM 634). Untuk harga, dan perincian selebihnya mengenai kemasukannya ke pasaran tempatan akan dinyatakan kelak oleh Samsung Malaysia. Kunjungi laman web rasmi Samsung Malaysia untuk maklumat lanjut mengenai fon telingan nirwayar ini.