Telefon peringkat menengah paling besar di dalam barisan Galaxy A 2022, Samsung Galaxy A73 5G menawarkan skrin yang paling besar dengan kamera paling besar sensornya di kalangan siri berkenaan.

Sebelum ini kita telah melihat secara sepintas lalu Galaxy A73 5G dan untuk kali ini, kita akan melihat dengan lebih terperinci mengenainya.

Perkakasan Samsung Galaxy A73 5G

Dari segi perkakasan, Samsung Galaxy A73 5G berbeza dengan adik beradiknya yang lain kerana menggunakan Snapdragon 778G 5G. Hal ini kerana bagi Galaxy A53 5G dan A33 5G, kedua-dua model berkenaan menggunakan Exynos 1280.

Pemprosesan pada Gaalxy A73 5G ini turut disokong oleh RAM 8GB dan storan sebanyak 256GB. Storannya ini juga boleh ditambah sehingga 1TB melalui slot kad mikroSD hibrid yang disediakannya. Selain storan, memori telefon ini juga boleh ditambah sebanyak 8GB dengan menambah vRAM.

Melalui antaramuka One UI 4.1 yang berasaskan Android 12, Samsung telah menyatakan komitmennya untuk menyediakan kemaskini sehingga 4 versi OS terkini.

Malah, untuk kemaskini keselamatannya juga menerima kemaskini sehingga 5 tahun. Oleh yang demikian, telefon ini akan menerima sokongan untuk satu tempoh yang panjang berbanding kebiasaan telefon pintar Android lain sebelum ini.

Fungsi Premium pada Galaxy A73 5G

Apa yang lebih menarik, beberapa ciri menarik lain yang selalunya terdapat pada siri Galaxy S turut disediakan pada Galaxy A73 5G. Antaranya:

  • Sokongan pembayaran melalui Samsung Pay
  • RAM maya untuk meningkatkan kepantasan melakukan fungsi berbilang tugas
  • Link to Windows untuk memindahkan data, melihat notifikasi, atau membuat panggilan telefon dari PC yang anda hubungkan

Bagaimanapun, telefon ini tidak menyediakan Samsung DeX yang membolehkan anda menggunakan telefon ini seperti komputer desktop dengan menyambung ke monitor tambahan.

Dari segi penggunaannya, Galaxy A73 5G mampu memainkan permainan-permainan mudah alih terkini seperti Call of Duty Mobile, dan Asphalt 9 pada tetapan tinggi dengan lancar. Manakala permainan yang mempunyai grafik yang lebih tinggi seperti Genshin Impact dan Apex Legends, telefon ini dapat dimainkan pada tetapan grafik sederhana dan rendah tanpa sebarang senggukan (lag).

Sungguhpun telah dimainkan untuk tempoh beberapa jam, unit ulasan Galaxy A73 5G ini didapati tidak menjadi terlalu panas. Untuk fungsi berbilang tugasan lain seperti membuka sejumlah tab di dalam aplikasi pelayar web juga didapati amat lancar. Penggunaan aplikasi suntingan video juga dapat dikendalikan dengan baik pada telefon pintar ini.

Kelancaran telefon pintar ini juga turut dibantu oleh kadar penyegaran semula sehingga 120Hz pada paparan Super AMOLED Plus 6.8-inci yang disediakannya. Paparan animasi dan juga tatalan pada juga lancar sungguhpun tidak semua aplikasi menyokong kadar penyegaran semula 120Hz.

Warna yang dipaparkan oleh skrin ini juga kelihatan bertenaga dengan tona warna yang amat jelas tanpa terlalu mencolok mata. Kejelasan skrin juga dapat dilihat dengan baik di bawah terik mentari, namun anda perlu menaikkan kecerahannya jika ingin dapat membaca teks.

Bateri Samsung Galaxy A73 5G

Untuk baterinya, Samsung Galaxy A73 5G mempunyai bateri berkapasiti 5,000mAh yang juga menyokong kuasa pengecasan 25W. Sepanjang menggunakannya, bateri telefon ini saya dapati mampu bertahan sekitar 9~11 jam, bergantung pada kadar penggunaan.

Untuk memanjangkan tempoh penggunaannya sebelum perlu dicaskan semula, saya akan merendahkan kadar kecerahannya, serta mengurangkan kadar penyegaran semula skrinnya kepada 60Hz sahaja.

Tempoh penggunaan bateri sebegini sudah dijangkakan berdasarkan keupayaan dan saiz paparan Samsung Galaxy A73 5G. Anda boleh menggunakan pengecas Samsung 25W untuk mengecaskannya semula dengan lebih pantas.

Kamera Samsung Galaxy A73 5G

Samsung Galaxy A73 5G menyediakan kuad-kamera dengan kamera utama 108MP f/1.8. Ia juga hadir dengan fungsi autofocus dan penstabil imej optikal yang merupakan daya penarik buat telefon ini. Amat jarang fungsi OIS disediakan pada telefon pintar peringkat menengah dan ini merupakan satu bonus.

Kamera tersebut turut diapit oleh sebuah kamera ultra lebar 12MP f/2.2, kamera makro 5MP f/2.4, dan kamera berkedalaman 5MP.

Melalui gabungan ini, telefon ini mampu merakamkan video berkualiti sehingga 4K pada 30fps. Cuma, rakaman pada resolusi ini agak tidak stabil dan anda mungkin perlu merendahkannya pada 1080p, 30fps.

Pada sebelah hadapannya pula disediakan sebuah kamera 32MP yang boleh merakamkan video sehingga resolusi UHD pada 30fps.

Dalam keadaan cerah di luar dan juga di dalam bangunan yang sederhana pencahayaannya, kamera 108MP OIS yang disediakan telefon ini mampu mengambil foto dengan perincian yang baik.

Zum menggunakan kamera telefon ini mampu mencapai sehingga 10x secara digital hibrid. Gambar yang diambil masih lagi dapat dilihat, cuma kejelasannya sahaja tidak sama seperti menggunakan zum secara optikal, selain terdapat sedikit hingar padanya.

Kamera makro yang disediakan pula mampu mengambil imej jarak dekat dengan baik. Namun, fungsi ini bagi pengguna biasa cuma digunakan sekali-sekala sahaja.

Tidak ketinggalan, kamera hadapan 32MP yang disediakan dapat mengambil swafoto dengan amat baik serta jelas. Boleh la untuk buat konten TikTok sedikit sebanyak dengan menggunakan tripod.

Harga Samsung Galaxy A73 5G di Malaysia

  • Samsung Galaxy A73 5G (RAM 8GB, Storan 256GB) – RM2,099

Secara keseluruhannya, Samsung Galaxy A73 5G membawakan pelbagai fungsi yang sewajarnya dengan harga yang ditawarkan, RM2,099. Ia menyediakan paparan besar dengan kadar penyegaran skrin 120Hz, sokongan 5G, kamera yang bagus untuk fotografi kasual, slot kad mikroSD dan kuasa pemprosesan dengan pelbagai ciri yang bagus untuk produktiviti.

Berbanding dengan adik beradiknya yang lain, Galaxy A73 5G dengan paparan yang lebih besar dan lancar bersama-sama prestasi yang tinggi sedikit, ia amat sesuai bagi peminat permainan mudah alih dan juga bagi anda yang menikmati tontonan filem secara santai. Tambahan pula, sokongan jangka panjang yang diberikan oleh Samsung sehingga 4 versi Android dan juga 5 tahun kemaskini keselamatan juga menjadikan pembelian Samsung Galaxy A73 5G amat berbaloi.

Untuk mendapatkan Samsung Galaxy A73 5G secara dalam talian di kedai dalam talian rasmi Samsung Malaysia, layari https://www.samsung.com/my/smartphones/galaxy-a/galaxy-a73-5g-awesome-mint-256gb-sm-a736blghxme/

Tinggalkan komentar