Telefon pintar peringkat pertengahan Samsung pada kebiasaannya menawarkan spesifikasi yang berbaloi dengan harganya, terutama sekali dari telefon pintar A-series keluarannya. Samsung Galaxy A7 (2018) dilihat meneruskan kesinambungan ini dengan menawarkan RAM 6GB dan chipset baru Exynos 7885, menurut laporan dari Geekbench.

Samsung Galaxy A7 edisi 2018 ini didakwa menawarkan spesifikasi yang sederhana sahaja oleh portal penanda aras peranti berkenaan. Chipset Exynos 7885 merupakan sebuah pemprosesan lapan teras 14nm dengan dua teras ARM A73 dan enam teras ARM A53. Ia juga turut disokong oleh GPU Mali-G71. Walaupun bukan sebuah pemprosesan yang berkuasa tinggi, ianya sudah memadai untuk digunakan pada kebanyakan aplikasi-aplikasi moden hari ini.

Antara yang menarik diutarakan oleh portal berkenaan adalah berkenaan RAM yang akan digunakan pada Galaxy A7 (2018) nanti. Berbeza dengan edisi 2017 yang sekadar menawarkan 3GB RAM, edisi yang akan datang ini menawarkan RAM sehingga 6GB.

Jika mengambil kira kualiti yang ditawarkan oleh Samsung Galaxy A7 (2017) sebelum ini, dijangkakan Samsung Galaxy A7 (2018) bakal menyambung kesinambungan telefon pintar peringkat pertengahan Samsung.

Sumber berita diperoleh dari Geekbench

1 komen

Tinggalkan komentar