Samsung telah mengumumkan model terbaru untuk telefon pintar siri Galaxy A, bersama-sama versi 5G untuk A71 dan A51. Model terbaru berkenaan adalah Samsung Galaxy A41 yang menampilkan cipset Mediatek dengan tetapan tri-kamera untuk kamera di belakangnya.

Versi Samsung Galaxy A41 ini sedikit berbeza dari segi luarannya berbanding edisi Jepun yang diumumkan pada bulan Mac lalu. Jika versi Jepun dahulu menampilkan susunan menegak pada tetapan tri-kamera di belakangnya, versi kali ini menampilkan susunan kamera berbentuk segiempat tepat.

Galaxy A41 yang menggunakan sistem operasi Android 10 ini menampilkan paparan Super AMOLED 6.1-inci dengan takuk bercorak titisan air dihadapannya bersama-sama pengimbas cap jari di bawah paparannya. Dikuasakan oleh cipset Mediatek Helio P65, telefon pintar ini turut dilengkapkan dengan RAM 4GB dan storan dalaman 64GB. Selain itu, ia juga turut memuatkan bateri berkapasiti 3,500mAh dengan sokongan pengecasan pantas 15W.

Tetapan tri-kamera Galaxy A41 merangkumi lensa utama 48MP, bersama-sama lensa bersudut ultra-luas 8MP dan sebuah lensa kedalaman 5MP. Untuk kamera hadapannya yang ditempatkan pada takuk sebelah atas paparan, Galaxy A41 menyediakan sebuah lensa 25MP.

Galaxy A71 dan Galaxy A51 versi 5G

Bagi edisi 5G Galaxy A71 dan A51 pula, kedua-duanya masih lagi mengekalkan spesifikasi asalnya, cuma hanya dibezakan pada cipset yang digunakannya. Kedua-duanya kini dilengkapkan dengan cipset Samsung Exynos 980 dengan RAM yang ditawarkan sehingga 8GB. Selain itu, kedua-dua variasi terbaru ini turut hadir dengan standard storan 128GB dan menampilkan bateri berkapasiti 4,500mAh dengan sokongan pengecasan pantas.

Galaxy A71 menampilkan paparan Super AMOLED 6.7-inci dengan sebuah lensa 32MP bagi kamera swafotonya yang ditempatkan pada paparan berpenebuk lubangnya. Paparan Galaxy A71 turut menyediakan pengimbas cap jari terbina di dalamnya. Pada belakangnya pula, disediakan kamera dengan tetapan kuad-kamera yang mengandungi lensa utama 64MP, lensa 12MP ultra-lebar, makro 5MP, dan kamera berkedalaman 5MP.

Manakala untuk Galaxy A51 pula, ia menawarkan paparan Super AMOLED 6.5-inci yang turut menampilkan paparan berpenebuk lubang yang menempatkan sebuah kamera swafoto berlensa 32MP bersama-sama pengimbas cap jari terbina dalam. Pada kamera belakangnya pula menempatkan tetapan kuad-kamera yang mengandungi lensa utama 48MP, lensa ultra-lebar 12MP, makro 5MP dan lensa berkedalaman 5MP.

Setakat ini Samsung tidak mendedahkan harga dan tarikh kemasukan ketiga-tiga model telefon pintar Samsung Galaxy A terbaru ini ke pasaran. Versi bukan 5G untuk Galaxy A71 dan A51 telah dilancarkan ke pasaran Malaysia sejak Januari 2020 dan harganya masing-masing adalah RM1,799 dan RM1,299.

Tinggalkan komentar