Bagi anda yang ingin mendapatkan telefon pintar 5G berjenama Samsung buat masa ini, anda mungkin boleh mempertimbangkan Galaxy A22.
Telefon pintar ini boleh didapati Malaysia pada harga di bawah RM 1,000 dan dikira sebagai lebih murah berbanding Galaxy A32 5G.
Selain menyokong rangkaian 5G, Galaxy A22 5G turut menyediakan paparan TFT Full HD+ 6.6-inci dengan sebuah kamera 8MP di sebelah hadapannya. Oleh kerana telefon ini menyokong 5G, ia menggunakan cipset Dimensity 700 5G.
Turut disediakan RAM 8GB dan storan 128 GB yang boleh diperluaskan sehingga 1TB melalui slot kad mikroSD. Telefon ini juga menyediakan bateri berkapasiti 5,000mAh dengan sokongan pengecasan pantas 15W melalui USB-C.
Di belakang Galaxy A22 5G menempatkan kamera yang mengandungi tiga sensor iaitu 48MP sebagai sensor utama, sensor ultra lebar 5MP, dan sensor berkedalaman 2MP. Telefon ini juga mampu merakamkan video pada resolusi sehingga 2K pada kadar 30 fps, dan juga mod Slow Motion yang merakam video HD pada 120 fps.
Lain-lain fungsi, telefon pintar ini menyediakan sokongan dwi-SIM, ketersambungan Bluetooth 5.0, navigasi GPS, pengimbas cap jari di sebelah sisi, dan bicu audio 3.5mm. Galaxy A22 5G menggunakan antara muka Samsung One UI yang berasaskan Android 11.
Sebagaimana yang dinyatakan di perenggan pertama tadi, Galaxy A22 5G akan dijual pada harga RM 999 di kedai dalam talian rasmi Samsung, Shopee dan Lazada, serta di kedai-kedai fizikal. Terdapat tiga warna ditawarkan iaitu Kelabu, Hijau Pudina dan Ungu.













