Ketika kebanyakan dari kita sedang menantikan peranti boleh lipat baharu yang akan diperkenalkan oleh Samsung pada Rabu ini, Samsung sempat memperkenalkan telefon pintar peringkat pemula baharunya.
Samsung Galaxy A12 telah dilancarkan di Russia yang menampilkan cipset Exynos 850 berbanding Helio P35 di pasaran lain. Malah, nama telefon ini juga berbeza kerana dinamakan sebagai Galaxy A12 Nacho
Tidak dapat dipastikan mengapa nama makanan tradisi Mexico ini dipilih untuk telefon Samsung khusus untuk pasaran Russia ini.
Dari segi spesifikasi perkakasannya, model ini hanya dibezakan pada cipset yang digunakan olehnya iaitu Exynos 850. Spesifikasinya yang adalah sama seperti Galaxy A12 di pasaran lain seperti paparan LCD TFT 6.5-inci beresolusi HD+. Telefon ini juga dilengkapkan dengan RAM 4GB dan storan dalaman 64GB dengan bateri berkapasiti 5,000mAh yang menyokong pengecasan 15W.
Untuk kamera pada belakangnya pula, ia terdiri dari konfigurasi 48MP (utama), 5MP (ultra-lebar), 2MP (berkedalaman) dan 2MP (makro). Tidak ketinggalan, kamera swafotonya menyediakan sebuah kamera 8MP. Telefon ini juga mempunyai port USB-C, Bluetooth 5.0, pengimbas cap jari pada butang di sisinya, dan bicu audio 3.5mm.
Harga Samsung Galaxy A12 Nacho di pasaran Russia adalah dari RUB 11,990, bersamaan lebih kurang RM 689.













