Samsung Galaxy A10s kini secara rasminya telah pun memasuki ke pasaran Malaysia, mengikuti jejak langkah model Galaxy A50 dan Galaxy A30. Model A10s merupakan model paling bajet di dalam siri Galaxy A yang terbaru.

Beberapa penambahbaikan turut diperkenalkan untuk versi tahun 2019 ini. Antaranya, termasuklah tetapan dwi-kamera untuk kamera utamanya yang mengandungi satu lensa 13MP dan satu lensa berkedalaman 2MP.

Kamera utamanya ini juga mempunyai apertur yang lebih luas iaitu f/1.8 yang seterusnya membolehkannya mengambil foto yang lebih elok pada waktu malam. Untuk kamera swafotonya pula, versi untuk tahun ini menawarkan sebuah lensa 8MP berbanding 5MP pada versinya yang terdahulu.

Selain itu, Galaxy A10s kali ini menawarkan bateri berkapasiti 4,000mAh berbanding 3,400mAh sebelumnya. Menawarkan paparan Infinity-V 6.2-inci, telefon pintar keluaran Samsung ini turut didatangkan dengan penderia cap jari pada bahagian belakangnya bersama-sama RAM 2GB dan storan dalaman 32GB. Tidak ketinggalan, ia juga menyediakan satu slot kad mikroSD yang boleh dikembangkan kapasitinya sehingga 512GB.

Samsung Galaxy A10s ditawarkan pada harga bermula dari RM529 dan boleh didapati dengan pilihan warna biru, hijau, merah dan hitam. Layari laman web rasmi Samsung untuk maklumat lanjut dan juga membuat pembelian.

Tinggalkan komentar