Samsung secara rasminya telah mengumumkan tarikh pelancaran siri Galaxy A baharunya yang akan diadakan pada 2 Mac ini. Akan tetapi, nama peranti-peranti yang akan dilancarkan tersebut masih lagi belum diketahui.

Dijangkakan terdapat tiga buah model yang akan dilancarkan di bawah siri ini – berkemungkinan Galaxy A56, Galaxy A36, dan Galaxy A26. Bagaimanapun, imej acah yang digunakan oleh Samsung hanya menunjukkan dua buah telefon sahaja. Oleh itu, mungkin hanya dua model sahaja yang akan diumumkan kelak. Sebuah model lagi dijangka akan diumumkan dalam tarikh yang akan diberitahu kemudian.

Samsung telah mengacah siri Galaxy A akan hadir ke pasaran Malaysia pada pertengahan Mac ini. Berdasarkan senarai di pangkalan data SIRIM, Galaxy A56 dijangka akan memasuki pasaran Malaysia nanti.

Sungguhpun spesifikasinya masih lagi belum diketahui, maklumat yang tertiris di arena web menyatakan ketiga-tiga model telefon pintar Samsung baharu tersebut akan mempunyai paparan 6.7-inci beresolusi 1080p. Untuk model Galaxy A56 dan A36, ia dijangka mempunyai kecerahan puncak 1,200 nits dan pengimbas cap jari di bawah paparan.

Dari segi ketahanan, Galaxy A56 dijangka menggunakan kaca Gorilla Glass Victusm manakala Galaxy A36 pula menggunakan Gorilla Glass 7+. Di dalamnya pula, A56 mungkin menggunakan pemprosesan Samsung Exynos 1580, dan untuk A36 dan A26 pula masing-masing dijangka akan menggunakan Qualcomm Snapdragon 6 Gen 3 dan Exynos 1380.

Ketiga-tiga model telefon pintar ini juga dikatakan akan mempunyai kamera utama 50MP. Hanya A56 sahaja yang mempunyai kamera ultra lebar 12MP dengan dua model lagi hanya sekadar kamera 8MP. Uniknya, A26 merupakan satu-satunya mempunyai kamera hadapan 13MP dengan yang lain 12MP sahaja. Seperti biasa, kesemua model ini mempunyai bateri berkapasiti 5,000mAh dengan sokongan pengecasan 45W untuk A56 dan A36, dan A26 pula hanya sekadar 25W sahaja.

Tinggalkan komentar