Samsung Malaysia Electronics (SME) Sdn Bhd hari ini melancarkan dua peranti terbaru untuk barisan siri Galaxy A (2017), Galaxy A5 dan Galaxy A7. Timbalan Presiden, Bahagian Perniagaan IT dan Mobile, Lee Jui Siang menyatakan bahawa Galaxy A5 dan Galaxy A7 merupakan model terkini untuk pasaran Malaysia dan dijangkakan mampu memenuhi selera anak-anak muda yang ingin sentiasa up-to-date.

Buat pertama kalinya, model dari barisan siri Galaxy A ini adalah kalis air dan tahan habuk. Ia juga merupakan peranti mudah alih kelas pertengahan Samsung yang pertama kali mendapat penarafan IP68 bagi ketahanan habuk dan rendaman air.

Kedua-dua peranti ini dilengkapi dengan kamera depan dan belakang 16 megapiksel serta lensa f1.9 dan fungsi light+ camera yang mampu memberikan imej yang lebih jelas dan cantik walau di dalam keadaan kurang pencahayaan. Selain itu, bagi fungsi kameranya turut diperkenalkan butang ‘terapung’ yang mana membolehkan pengguna mengambil gambar dengan menyentuh pada mana-mana bahagian di atas skrin.

Samsung Galaxy A7 dan A5 turut dipertingkatkan dengan paparan HD penuh Super AMOLED masing-masing 5.7 inci dan 5.2 inci.

Lain-lain spesifikasi untuk peranti model terbaru ini termasuklah, bateri 3,600 mAh bagi A7 dan 3,000 mAh untuk A5. Kedua-duanya berkeupayaan melakukan pengecasan pantas serta storan yang boleh dikembangkan sehingga 256GB. Ia juga turut mempunyai paparan always-on, folder berkunci dan juga Samsung Cloud.

Boleh didapati dalam pilihan warna Black Sky dan Gold Sand, model ini boleh didapati di kesemua kedai jenama Samsung di seluruh negara bermula 25 Januari ini. Harga yang disarankan adalah RM1,899 termasuk GST bagi Galaxy A7. Manakala untuk Galaxy A5 pula, harganya adalah RM1,699 termasuk GST.

Pra-tempahan boleh dilakukan di kedai-kedai terpilih dari 6 Januari sehingga 15 Januari dan barangan yang ditempah boleh dituntut pada 25 Januari. Pembeli juga boleh melakukan pra-tempahan secara atas talian melalui Lazada dan 11street.

Sumber berita diperoleh dari The Star; Imej cover dari Yazit Razali, Berita Harian

Tinggalkan komentar