Samsung secara rasminya telah memperkenalkan cip Exynos baharunya, Exynos W920 yang dikhususkan untuk peranti boleh pakai. Cip ini merupakan kesinambungan dari Exynos 9110 yang dilancarkan tiga tahun lalu bersama-sama Galaxy Watch pertama.

Exynos W920 akan muncul julung kalinya di dalam Galaxy Watch 4 dan Galaxy Watch 4 Classic esok menerusi acara Galaxy Unpacked 2021. Sungguhpun dilaporkan lebih berkecekapan tenaga berbanding cip sebelumnya, cip Exynos baharu ini menjanjikan prestasi yang jauh lebih pants.

Cip ini juga dihasilkan melalui proses 5nm yang terkini dari Samsung Foundry. Ia menampilkan dua teras CPU ARM Cortex-A55 dan GPU ARM Mali-G68. Firma dari Korea Selatan ini juga menyatakan cip peranti boleh-pakai baharu ini 20% lebih pantas berbanding Exynos 9110 di dalaum ujian CPU dan menawarkan prestasi grafik 10X lebih pantas. GPU Exynos W920 mampu menyokong paparan beresolusi qHD (960 x 540 piksel).

Setakat ini, cip Exynos baharu ini didatangkan di dalam pakej paling kecil yang pernah ditawarkan di dalam segmen peranti boleh-pakai. Semuanya sekali termasuk Exynos W920, cip pengurusan tenaga, RAM LPDDR4 dan storan eMMC dihimpunkan ke dalam satu pakej yang dikenali sebagai Fan-Out Panel Level Packaging (FO-PLP). Justeru, meningkatkan kecekapan penggunaan ruang fizikal pada peranti dan membolehkan bateri yang lebih besar ditempatkan.

Pemprosesan paparan berkuasa rendah khusus, Cortex-M55 turut ditampilkan pada cip ini bagi menguruskan tugasan AoD (Always-on Display). Ini seterusnya mengurangkan penggunaan tenaga keseluruhan peranti boleh pakai yang menggunakan cip Exynos W920.

Cip ini turut mengintegrasikan GNSS (Global Navigation Satellite System), modem 4G LTE, Wi-Fi b/g/n, dan Bluetooth 5.0. Selain itu, ia juga menyokong sistem operasi Wear OS yang dibangunkan secara bersama oleh Google dan Samsung.

Tinggalkan komentar