Apa pun pendapat sesetengah pihak terhadap penggunaan cipset Exynos pada peranti-peranti mercu Samsung, syarikat elektronik Korea Selatan ini dilihat tidak akan mengabaikan hasil buah tangannya sendiri.
Malah, pengeluar elektronik popular ini turut menggandakan usaha penambahbaikan cipset ini. Laporan terbaru menyatakan Samsung sedang bekerjasama dengan Google dalam pembangunan cipset Exynos terbaru.
Cipset Exynos lapan-teras yang akan datang ini dikatakan bakal dihasilkan menggunakan proses 5nm LPE Samsung. Ianya dijangka menampilkan dua teras Cortex-A78, dua teras Cortex A-76 dan empat teras CortexA-66. Turut dinyatakan, sebahagian dari cipset berkenaan turut dimuatkan GPU Mali MP20 berasaskan senibina Borr yang masih belum diumumkan. Google bakal menyumbangkan teknologi Visual Core ISP dan NPU miliknya di dalam projek ini.
Buat masa ini tidak dapat diketahui pada peranti mana cipset Exynos ini bakal digunakan. Namun, mengambil kira peranan Google di dalam projek ini, tidak mustahil ianya mungkin hadir pada telefon pintar Pixel, peranti Chrome OS, mahupun di pelayan-pelayan pusat data.













