Samsung dilaporkan bakal melancarkan telefon pintar boleh lipat tiga pertamanya pada Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2025 yang akan berlangsung di Gyeongju, Korea Selatan, dari 31 Oktober hingga 1 November ini.

Pelancaran ini menandakan satu lagi kemajuan besar dalam teknologi peranti boleh lipat daripada gergasi teknologi Korea Selatan itu.​

Menurut satu laporan daripada The Korea Herald yang dipetik oleh GSMArena, walaupun Samsung telah mengesahkan pelancaran peranti lipat tiga pada tahun ini, tarikh rasmi masih belum diumumkan. Namun, acara antarabangsa APEC 2025 dilihat sebagai platform strategik untuk memperkenalkan teknologi inovatif tersebut.​

Nama rasmi peranti ini masih menjadi tanda tanya, dengan beberapa spekulasi mencadangkan nama seperti Galaxy G Fold atau Galaxy Z TriFold. Peranti ini dijangka akan dikeluarkan dalam kuantiti yang sangat terhad, dengan anggaran antara 50,000 hingga 200,000 unit sahaja untuk fasa pengeluaran awal.​

Dari segi harga, telefon boleh lipat tiga ini dianggarkan akan dijual pada harga sekitar $2,800 (~RM11,784), iaitu $1,000 (~RM4,208) lebih mahal berbanding harga pelancaran Samsung Galaxy Z Fold7. Berdasarkan laporan awal, ia hanya akan tersedia di beberapa pasaran terpilih termasuk China, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Emiriah Arab Bersatu.​

Pelancaran peranti ini di sidang kemuncak APEC akan menjadi detik penting bagi Samsung dalam mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju inovasi dalam pasaran telefon pintar boleh lipat. Tawaran pada harga premium dan ketersediaan terhad jelas menunjukkan ia mensasarkan segmen pasaran eksklusif dan peminat teknologi terawal.

Tinggalkan komentar