Samsung telah mengumumkan penambahan ciri baharu ke dalam siri Galaxy A terpilih yang membolehkan pengguna mengakses terus ke Gemini menggunakan butang pada sisi telefon. Melalui ciri yang telah pun diperkenalkan lebih awal pada siri Galaxy S, pnegguna boleh menekan dan memegang butang pada sisi untuk mengaktifkan ciri pembantu AI.
Kemaskini baharu ini bertujuan mempermudahkan dan mempercepatkan pengguna melaksanakan tugasan-tugasan harian dengan bantuan Google Gemini AI. Antaranya penggunaan arahan suara untuk semakan jadual, mengesan restoran berhampiran atau mendapatkan cadangan. Pengguna juga boleh menggunakan satu arahan untuk melaksanakan tugasan di pelbagai aplikasi sama ada Samsung, Google atau sesetengah aplikasi pihak ketiga.
Sebelum ini Samsung memperkenalkan Awesome Intelligence dengan model-model siri Galaxy A terkininya yang menyediakan pengguna dengan alatan berkuasa AI untuk kegunaan harian. Kini dengan aplikasi yang akan datang ini lebih memudahkan pengguna untuk memanfaatkan AI di dalam kehidupan harian melalui Gemini dengan hanya menggunakan gestur yang mudah dan pantas.
Menurut Samsung, kemaskini ini telah pun mula ditawarkan kepada pengguna global untuk model-model siri Galaxy A terpilih sejak awal Mei ini secara berperingkat.













