Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) OpenAI Sam Altman memberikan amaran bahaya “Krisis Penipuan Yang Akan Terjadi” yang membolehkan sesiapa sahaja membuat penyamaran. Ia bukan sekadar meniru suara, malah meniru rupa dan gaya orang lain menggunakan teknologi AI yang turut disumbangkan oleh syarikatnya sendiri.
Di dalam sesi perbualan dengan Timbalan Pengerusi Federal Reserve (Bank Pusat Amerika Syarikat) Michelle Bowman di Washington, DC, Altman menegaskan industri perbankan perlu dipermodenkan bagi mencegah pelanggan masing-masing menjadi mangsa penipuan yang semakin berleluasa.
“Saya amat serius tentang ini,” beliau memberitahu Bowman.
“Apa yang saya takutkan pada masa ini masih lagi terdapat sesetengah institusi kewangan yang menerima pengesahan melalui suara untuk pemindahan dana atau urusan perbankan lain.”
“AI telah mampu mengatasi kebanyakan kaedah-kaedah pengesahan pada ketika ini selain daripada kata laluan,” tambah beliau lagi. “Buat masa ini, ia panggilan suara; tidak lama lagi ia melibatkan video (panggilan video) atau FaceTime yang tidak boleh dibezakan dengan yang sebenar,”
Perkara yang disebut-sebutkan beliau sedang berlaku dengan terdapat kes-kes yang menggunakan suara mangsa untuk mendapatkan wang daripada keluarga mangsa. Malah terdapat juga video iklan palsu menggunakan gambar dan suara selebriti seperti Aaron Aziz dan Khairul Aming untuk mempromosikan produk.













