Kerajaan negeri Sabah telah mengumumkan penggantungan seluruh penerbangan ke Negeri Di Bawah Bayu dari China berkuatkuasa serta-merta sehingga diberitahu kelak. Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew berkata keputusan yang diambil semasa mesyuarat kabinet semalam adalah bagi menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat di negeri ini.
Keputusan ini dibuat selepas Kabinet negeri bermesyuarat semalam, sebagai langkah mengurangkan risiko mendedahkan orang awam dengan jangkitan koronavirus baharu (2019-nCoV).
“Walaupun penggantungan ini bakal memberi kesan kepada industri pelancongan Sabah, kerajaan negeri memandang serius isu kesihatan dan kesejahteraan rakyat Sabah.
“Penggantungan ini hanya sementara dan semua operasi perniagaan dijangka akan bersambung semula apabila situasi kembali menjadi normal,” tambah beliau lagi.
Menurut beliau, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri akan memaklumkan kepada semua syarikat penerbangan mengendalikan laluan dari China ke Kota Kinabalu mengenai keputusan kerajaan itu.
“Ini bermakna semua penerbangan dari China akan dihentikan sementara dan tiada kemasukan untuk semua pelancong dari bandar raya-bandara raya China sepanjang tempoh penggantungan itu,” katanya.
Sumber berita diperoleh dari Bernama













