Penggunaan dron-dron kecil untuk tujuan peninjauan di dalam medan tempur sudah hampir menjadi kebiasaan dalam bidang ketenteraan moden hari ini. Terbaru, Russia dilapor melengkapkan platun-platun tenteranya dron kecil dan tidak lama lagi akan menyertakan persenjataan padanya.
Menurut Kementerian Pertahanan Russia, sistem bom miniatur untuk dipasangkan pada dron-dron ketenteraan sedang dibangunkan oleh pihak kementerian. Perkembangan ini merupakan lanjutan dari pengalaman tentera Russia yang berhadapan dengan dron komersil yang digunakan oleh ISIS. Dalam insiden serangan pangkalan tentera Russia di Syria sebelum ini, ISIS telah menggunakan dron komersil yang telah diubahsuai dengan fungsi pengeboman untuk melancarkan serangan.
Setakat ini tiada sebarang perincian mengenai spesifikasi teknikal dan jangka masa pembangunan diumumkan oleh pihak kementerian. Sesetengah pihak berasa sangsi mengenai laporan ini berdasarkan laporan perkembangan pembangunan sistem misil hipersonik yang diuar-uarkan oleh media Russia sebelum ini.
Dron sememangnya mampu disedia dan digerakkan dalam tempoh masa yang singkat, namun pada masa ini ianya masih lagi boleh dimusnahkan oleh penembak-penembak tepat tentera dan juga teknologi penangkis dron sedia ada. Ia berkelebihan di dalam pertempuran di dalam bandar seperti di lorong-lorong sempit dan juga di dalam bangunan selain apabila berhadapan dengan pihak lawan yang tidak menjangkakan serangan dron.
Apa pun jua senario penggunaan dron di dalam pertempuran pada masa ini, kemungkinan dan ketakutan kita terhadap penggunaan dron di dalam medan tempur kian hampir menjadi realiti.
Sumber berita diperoleh dari Defense One













