Xiaomi akan melancarkan siri 12T yang dikatakan akan menampilkan kamera 200MP pada 4 Oktober nanti. Baru-baru ini, Xiaomi juga mengumumkan akan memperkenalkan tablet baharu pada hari yang sama iaitu Redmi Pad.

Jika Xiaomi 12T akan dilancarkan di Munich, Jerman, Redmi Pad akan diperkenalkan menerusi sebuah acara yang akan diadakan di India sekitar tengahari waktu tempatan.

Redmi Pad yang diuar-uarkan sebagai “pilihan yang tepat untuk hiburan, permainan, pembelajaran dalam talian dan melayari internet.” Berdasarkan imej yang dikongsikan, Redmi Pad akan hadir dalam warna hijau dengan bahagian belakangnya menampilkan kamera 8MP.

Bagaimanapun, menerusi foto berasingan yang dikongsikan oleh laman web rasmi Xiaomi, didapati pilihan warna kelabu turut ditawarkan oleh tablet ini.

Xiaomi tidak berkongsikan sebarang spesifikasi Redmi Pad setakat ini. Namun, jika mengambil kira maklumat yang tertiris, tablet ini dilengkapkan dengan cipset Helio G99, MIUI berasaskan Android 12, bersama-sama RAM sehingga 4GB dan storan sehingga 128GB.

Redmi Pad juga dikatakan menampilkan paparan LCD 10.61-inci 90Hz beresolusi 2,000 x 1,200 piksel berserta bateri berkapasiti 8,000mAh dengan pengecasan 18W.

Turut disediakan empat pembesar suara Dolby Atmos dan kamera hadapan bersudut pandang 105°. Pilihan warnanya pula dikatakan mungkin ditawarkan dalam pilihan Graphite Gray, Moonlight Silver, dan Mint Green.

Spesifikasi yang tertiris ini bagaimanapun hanya menyatakan berkenaan model Wi-Fi sahaja kerana model selular pula dikatakan akan hadir dengan saiz skrin yang berbeza, 11.2-inci dengan kapasiti bateri 7,800mAh. Setakat ini tidak dapat dipastikan varian mana yang akan dilancarkan pada Selasa ini.

Tinggalkan komentar