Xiaomi secara rasminya telah mengumumkan tarikh pelancaran siri Redmi Note 14 ke pasaran tempatan. Barisan telefon pintar ini akan tiba di Malaysia pada 10 Januari 2025, sehari selepas sub-jenamanya POCO melancarkan X7 Pro.
Berdasarkan kedai dalam talian rasminya di Shopee, terdapat tiga buah model dari siri ini yang akan dijual di pasaran Malaysia – Note 14 5G, Note 14 Pro 5G, dan Note 14 versi 4G. Model 4G di dalam siri ini baharu sahaja kami ketahui dan tidak banyak maklumat mengenainya yang diperoleh buat masa ini.
Untuk model Pro, ia akan menampilkan paparan AMOLED 6.67-inci 1.5K dengan kadar penyegaran semula 120Hz, dan kecerahan puncak HDR 3,000 nits. Di dalamnya pula terdapat sebuah pemprosesan MediaTek Dimensity 7300 Ultra yang dikuasakan oleh bateri 5,500mAh dengan sokongan pengecasan 45W. Untuk perlindungannya, ia didatangkan dengan kaca Corning Gorilla Glass Victus 2 dan penarafan kerintangan air dan debu IP68.
Seterusnya bagi Redmi Note 14 5G pula, ia didatangkan dengan paparan AMOLED 6.67-inci beresolusi 1080p dengan kadar penyegaran semula 120Hz. Kecerahan puncak HDR yang ditawarkannya pula adalah 2,100 nits. Ia menggunakan pemprosesan MediaTek Dimensity 7025 Ultra bersama-sama bateri 5,110mAh dengan pengecasan 45W. Selain mempunyai perlindungan Corning Gorilla Glass 5, telefon pintar Redmi baharu ini juga mempunyai penarafan debu dan air IP64.
Dijangkakan terdapat tetapan kamera baharu untuk varian global yang akan diperkenalkan ini yang mungkin berbeza dengan model yang diperkenalkan di China. Melalui laman iklan acah untuk pelancarannya yang akan datang ini, ia diiklankan mempunyai sebuah kamera 200MP yang mungkin menggunakan sensor ISOCELL HP3 dari Samsung. Tidak dapat dipastikan sama ada perubahan ini berlaku pada model Pro sahaja ada pada model-model lain di dalam siri ini.













