Lebih kurang sebulan selepas pelancaran siri Redmi Note 11 di Malaysia, Xiaomi telah memperluaskan siri ini dengan dua model baharunya. Hadir sebagai Redmi Note 11 Pro+ 5G dan Redmi Note 11S 5G, telefon ini menawarkan sokongan 5G pada harga mampu milik.

Redmi Note 11 Pro+ 5G dengan penarafan IP53 ini dilengkapkan dengan paparan AMOLED FHD+ 6.67 dan kadar penyegaran semula 120Hz, serta perlindungan Corning Gorilla Glass 5. Melalui pemprosesan MediaTek Dimensity 920, varian Malaysia ini didatangkan dengan RAM 8GB sebagai standard.

Untuk fotografinya, kamera utama telefon ini menampilkan sensor Samsung ISOCELL HM2 108MP f/1.8 bersama-sama kamera ultra-lebar f/2.2 dan kamera makro 2MP f/2.4. Turut disediakan kamera hadapan 16MP f/2.4 yang boleh digunakan untuk panggilan video dan swafoto.

Xiaomi turut melengkapkan Redmi Note 11 Pro+ 5G dengan bateri 4,500mAh yang boleh menyokong teknologi pengecasan OPPO HyperCharge 120W. Pengecas 120W yang mampu mengecas sepenuhnya dalam tempoh 15 minit sahaja ini turut disertakan bersama-sama pembelian telefon pintar ini.

Seterusnya, Redmi Note 11S 5G pula bukan sekadar kembar kepada Note 11S versi 4G. Ia menampilkan paparan Full HD+ 6.6-inci 90Hz dan dikuasakan oleh MediaTek Dimensity 810.

Modul kamera bagi Note 11S 5G ini juga sedikit berbeza dengan menampilkan kamera utama 50MP f/1.8, kamera berkedalaman 2MP, kamera ultra-lebar 8MP f/2.2 dan kamera makro 2MP.

Dalam pada masa yang sama, Note 11S 5G turut menawarkan bateri berkapasiti 5,000mAh dengan pengecasan pantas 33W. Pengecas 33W ini juga turut disertakan bersama-sama kotak pembeliannya.

Harga Redmi Note 11 Pro Plus 5G dan Redmi Note 11S 5G di Malaysia

Redmi Note 11 Pro+ 5G 128GB dijual di pasaran Malaysia pada RM1,499, manakala varian 256GB pula berharga RM1,599. Bersempena pelancarannya, anda boleh mendapatkannya pada harga yang lebih rendah masing-masing RM1,399 dan RM1,499 pada 6 April ini di Lazada dan Shopee.

Untuk Redmi Note 11S 5G pula, telefon ini hanya mula dijual pada 22 April ini dengan harga RM999. Telefon yang didatangkan dengan RAM 6GB dan storan dalaman 128GB melalui kedai jualan Xiaomi yang sah di seluruh negara dan juga di Lazada dan Shopee.

 

Tinggalkan komentar