Rentetan dari pengumuman yang dibuat dua minggu lalu, Xiaomi kini secara rasminya melancarkan Redmi Note 11 ke pasaran Malaysia.

Kesemua keempat-empat model global telefon pintar berkenaan akan hadir ke pasaran tempatan seawal esok.

Dimulakan dengan Redmi Note 11 standard yang dijual pada harga RM749 bagi pilihan konfigurasi 4GB/128GB, varian ini boleh didapati pada harga disakun RM699 melalui Lazada dan Shopee. Bagi pilihan konfigurasi 6GB/128GB pula, varian telefon pintar ini boleh didapati dengan harga RM799.

Turut hadir ke pasaran bermula esok adalah Redmi Note 11S dengan pilihan 6GB/64GB dijual pada harga RM899. Varian ini juga dijual di Lazada dan Shopee pada harga istimewa RM799. Bagi pilihan 8GB/128GB pula, varian ini berharga RM999.

Khusus untuk anda yang membuat pembelian Note 11 6GB/128GB atau Note 11S 8GB/128GB menerusi kedai rasmi Xiaomi di Lazada, anda berpeluang menerima Redmi Buds 3 percuma.

Namun, jika anda memilih untuk mendapatkannya di kedai jualan fizikal Xiaomi yang sah, anda akan menerima beg tote edisi terhad dan selimut bantal premium bagi setiap pembelian.

Redmi Note 11 Pro dan Redmi Note 11 Pro 5G

Manakala Redmi Note 11 Pro dan Pro 5G pula akan mula dibuka pra-tempahannya bermula esok sehingga 18 Februari. Dari segi harga, Note 11 Pro pilihan 6GB/128GB dijual pada harga RM999. Manakala pilihan 8GB/128GB pula disenaraikan pada harga RM1,099.

Buat anda yang membuat pra-tempahan bagi varian 6GB/128GB melalui Lazada dan Shopee akan menerima pada harga diskaun iaitu RM949. Selain itu, anda juga berpeluang menerima Mi True Wireless Earbuds Basic 2.

Bagaimanapun, tiada diskaun ditawarkan bagi varian 8GB/128GB Redmi Note 11 Pro. Namun, anda berpeluang menerima Mi Smart Band 6 jika anda membuat pra-tempahan varian berkenaan menerusi kedai jualan Xiaomi yang sah, Lazada atau Shopee.

Bagi Note 11 Pro 5G pula, varian 6GB/128GB dijual pada harga RM1,199. Manakala bagi varian 8GB/128GB pula harga yang ditawarkan adalah RM1,299.

Sama seperti model 4G, pilihan varian 6GB/128GB ditawarkan pada harga lebih rendah iaitu RM1,099 jika pra-tempahan dibuat menerusi Lazada dan Shopee. Pra-tempahan varian tersebut juga berpeluang menerima Redmi Buds 3 secara percuma.

Mi Smart Band 6 turut ditawarkan secara percuma buat anda yang memilih untuk melakukan pra-tempahan Note 11 Pro 5G varian 8GB/128GB menerusi kedai jualan fizikal Xiaomi yang sah, Lazada dan Shopee.

Tinggalkan komentar