Xiaomi telah melancarkan telefon pintar bajet baharunya di Malaysia, Redmi 15C. Ia berkesinambungan dari Redmi 14C yang dilancarkan pada tahun lepas dengan menampilkan rekaan baharu dan bateri lebih besar.
Redmi 15C menawarkan paparan LCD 6.9-inci dengan resolusi 1,600 x 720 piksel, kadar penyegaran semula 120Hz dan kecerahan 500 nits. Selain itu, ia juga mempunyai bicu audio 3.5mm, pengimbas cap jari, dan slot kad mikroSD. Telefon pintar baharu Redmi ini juga mempunyai penarafan IP64 untuk kerintangan debu dan air.
Sama seperti model tahun lepas, ia dimuatkan dengan pemprosesan MediaTek Helio G81 bergandingan dengan RAM 8GB, dan storan 256GB. Telefon pintar ini juga memiliki bateri berkapasiti 6,000mAh dengan sokongan pengecasan berwayar 33W dan pengecasan berwayar berbalik 10W. Untuk perisian ia menggunakan Android 15 melalui antaramuka Xiaomi HyperOS 2.
Dari segi pengimejan pula, ia menampilkan kamera utama 50MP dan kamera berkedalaman pada bahagian belakangnya. Dalam pada masa yang sama, ia juga memiliki kamera hadapan 8MP dengan sokongan rakaman video 1080p pada 30fps di kedua-dua belahnya.
Redmi 15C hadir dengan empat pilihan warna iaitu Midnight Black, Mint Green, Moonlight Blue, dan Twilight Orange telefon pintar pemula ini boleh didapati secara fizikal di kedai Xiaomi dan juga secara dalam talian serta di platform rasmi Shopee dan Lazada. Harganya bermula dari RM449 untuk konfigurasi 6GB+128GB dan RM599 untuk konfigurasi 8GB+256GB.